Puasa tidak halang Wan Arif- Mohd Haikal ke final

Wan Arif dan Haikal. Foto Facebook BAM.
Wan Arif dan Haikal. Foto Facebook BAM.
A
A
A

BEREGU lelaki muda negara Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri membuktikan puasa tidak menjadi halangan untuk mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya melangkah ke final Masters Orleans di Perancis.

Wan Arif-Mohd Haikal yang berada di ranking ke-103 dunia, mengambil masa 41 minit untuk menyingkirkan pasangan tuan rumah Eloi Adam-Julien Maio 21-18, 21-16 dalam saingan separuh akhir berlangsung malam tadi (Ahad).

Gandingan muda negara bakal berdepan Ruben Jille-Ties Van Der Lecq dari Belanda, yang sebelum itu menewaskan pasangan India P.S Ravikrishna-Sankar Prasad Udayakumar 13-21, 21-12, 22-20 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, Wan Arif mengakui ini adalah kali pertama mereka menyertai kejohanan dalam bulan Ramadan dan gembira berjaya melangkah ke peringkat akhir.

"Kali pertama bermain dalam puasa jadi kami 50-50 tadi...Alhamdulillah ada tenaga dan mental kuat sampai habis permainan.

"Pelan untuk final tidak tahu lagi macam mana, kami akan tengok rentak permainan lawan dahulu dan insya-Allah buat yang terbaik,” katanya dalam klip video dikongsi kepada media, pada Ahad.

Sementara itu, beregu campuran negara Yap Roy King-Teoh Mei Xing terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia Rehan Kusharjanto-Lisa Kusumawati 21-16, 21-15.

Mei Xing mengakui beberapa kesilapan menyebabkan mereka terpaksa akur dengan kekalahan dan berharap berpeluang digandingkan lagi dengan Roy King pada masa depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: