Orang Asli Kampung Palas gembira terima air bersih

Penduduk gembira dengan usaha MyFundAction yang berjaya menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk di Kampung Palas.
Penduduk gembira dengan usaha MyFundAction yang berjaya menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk di Kampung Palas.
A
A
A

IPOH - Kehadiran bulan Ramadan tahun ini amat bermakna buat penduduk di perkampungan Orang Asli Kampung Palas, Simpang Pulai di sini kerana impian mempunyai paip di setiap rumah tercapai.

Projek pembinaan bekalan air bersih yang dilaksanakan MyFundAction sejak 18 Mac lalu memudahkan kehidupan lebih 30 penduduk di kampung berkenaan.

Suri rumah, Noraini Itam, 20, berkata, lebih lima tahun penduduk menunggu bekalan air dan akhirnya impian itu dimakbulkan.

"Sebelum ini, kami perlu membawa pakaian dan pinggan mangkuk yang ingin dibasuh ke kawasan lain kerana air tidak sampai ke rumah akibat tekanan rendah.

"Bila ada paip ini, kehidupan keluarga lebih mudah dan saya selesa mengambil wuduk tanpa perlu berjalan jauh melalui kawasan bersemak lagi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Noraini
Noraini

Bagi Tok Batin, Anjang Uda, usaha MyFundAction menyediakan saluran dan membina tiga tangki air telah memudahkan sembilan rumah penduduk di situ.

Kata Anjang, pihaknya bagaimanapun mengesan terdapat unsur sabotaj yang dilakukan individu dari 'luar'.

Artikel Berkaitan:

"Kerana saluran paip yang kecil menyebabkan ada individu yang bertindak memotong atau menebuk lubang untuk memudahkan mereka mengambil air bukit.

"Keadaan itu menyebabkan tekanan air ke kampung menjadi rendah atau tiada langsung hingga menyusahkan penduduk untuk mandi, membasuh dan memasak," katanya.

Anjang
Anjang

Anjang berkata, MyFundAction ada menyediakan soket untuk membaiki kerosakan di bahagian paip itu.

"Minggu lalu sudah tiga kali berlaku kebocoran dan kita tidak mahu masalah ini terus berlarutan. Menjadi satu pekerjaan kepada penduduk pula pergi periksa dan betulkan semua saluran paip di luar itu.

"Diharapkan orang luar supaya lebih bertanggungjawab terhadap fasiliti yang disediakan khas untuk kami terutama di bulan puasa ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus projek MyFundAction, Hariz Hasbullah Hashim berkata, tindakan segera dilakukan sebaik menerima aduan daripada Anjang yang meminta kemudahan itu.

Hariz Hasbullah
Hariz Hasbullah

"Mereka berhadapan kesukaran mendapatkan bekalan itu kerana masalah tekanan dan air bersih yang disebabkan hujan meskipun setiap rumah memiliki paip.

"Jadi, kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bertindak membina tangki tadahan air untuk kegunaan harian penduduk," katanya.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan untuk melaksanakan projek sama di 15 perkampungan Orang Asli sekitar negeri itu dalam tempoh tiga tahun.

"Kami kini menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk fasa pembinaan di beberapa kampung yang telah dikenal pasti di Ipoh dan Gerik.

"Usaha kami akan lebih efisien sekiranya mendapat sokongan dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan bekalan air bersih di kampung-kampung yang memerlukan," katanya.