Pentadbiran pro-Rusia diarah dibentuk di Mariupol

Gambar fail menunjukkan anggota-anggota tentera pro-Rusia memeriksa kenderaan di bandar Mariupol baru-baru ini. - Foto Reuters
Gambar fail menunjukkan anggota-anggota tentera pro-Rusia memeriksa kenderaan di bandar Mariupol baru-baru ini. - Foto Reuters
A
A
A

MARIUPOL - Ketua Republik Rakyat Donetsk (DPR), Denis Pushilin yang pro-Rusia memerintahkan pembentukan pentadbiran bandar di Mariupol, menurut agensi berita rasmi TASS.

"Pentadbiran tempatan Republik Rakyat Donetsk akan dibentuk di bandar Mariupol," kata kenyataan itu yang disiarkan di laman web ketua DPR pada Khamis.

Pushilin juga menyampaikan arahan kepada Ketua Pentadbiran Bandar Mariupol untuk memastikan perkembangan pembangunan dan kelulusan peraturan yang berkaitan dengan pentadbiran bandar tersebut, struktur dan pegawai-pegawainya dilakukan.

Sebelum ini Tentera Rusia dan Ukraine bertempur bagi menguasai bandar Mariupol.

Pushilin berkata, pada awal minggu ini menerusi televisyen Rusia bahawa kira-kira 140,000 penduduk telah meninggalkan Mariupol ke Rusia atau menuju ke DPR.

Mariupol telah dikepung oleh tentera Rusia dan bandar tersebut mengalami masalah bekalan air dan elektrik sehingga mencetuskan salah satu mala petaka kemanusiaan yang paling teruk akibat perang Ukraine.

Dalam pada itu, pegawai pro-kerajaan tempatan menyatakan bahawa 5,000 orang telah terbunuh sejak permulaan perang berkenaan dan 160,000 orang awam masih terperangkap di bandar tersebut tanpa mendapat keperluan asas.

Setakat 27 Mac lalu, seramai 290,000 orang awam didakwa telah melarikan diri dari Mariupol.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Datuk Bandar Mariupol, Vadym Boichenko mengakui Mariupol telah jatuh di bawah kawalan Rusia. - Agensi