Macau Scam hantar gambar waran tangkap perdaya mangsa

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penipuan Macau Scam dikesan menggunakan taktik terbaru dengan menghantar gambar yang didakwa sebagai waran tangkap kepada mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, taktik berkenaan dipercayai digunakan untuk menakutkan penerima mesej tersebut.

"Mangsa kebiasaannya akan menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali mendakwa sebagai pegawai polis, mahkamah dan sebagainya.

"Namun, taktik yang terbaru dikesan sindiket akan menghantar gambar yang didakwa sebagai waran tangkap kepada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, taktik terbabit sebahagian daripada modus operandi digunakan sindiket Macau Scam untuk memperdayakan serta menipu mangsa.

"Bagi menyempurnakan waran tangkap, pihak polis sama sekali tidak akan menghantar dokumen tersebut kepada individu terlibat.

"Waran hanya ditunjukkan secara fizikal kepada individu yang ditahan semasa tangkapan dilakukan," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan taktik yang dilakukan sindiket.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh atau terpedaya dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali sekaligus mengaitkan diri dengan mana-mana kes jenayah.

"Segera buat semakan dengan pihak polis sekiranya menerima panggilan meragukan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.