Sasaran akhir pingat Sukan SEA Hanoi dihalusi semula pertengahan April

No Image Caption
A
A
A

SASARAN akhir kontinjen atlet negara bagi merangkul pingat dalam Sukan SEA di Hanoi, Vietnam akan diperhalusi semula menerusi bengkel penetapan sasaran akhir yang dijadualkan pertengahan April ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, bengkel itu akan melibatkan beberapa pihak berkaitan antaranya Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan ketua jurulatih serta pengurus sukan.

"Sasaran akhir kontinjen Malaysia di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam akan diumumkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang pada 25 April nanti," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu jumlah pingat yang disasarkan Malaysia menjelang Sukan SEA Hanoi pada Mei ini.

Lian Ker berkata, berdasarkan perkembangan semasa dan perbandingan prestasi semasa atlet bagi temasya sukan dwitahunan itu, sasaran awal yang ditetapkan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan adalah 79 pingat secara keseluruhan merangkumi 31 bagi pingat emas, 19 perak dan 29 gangsa.

Beliau berkata, bagi Sukan SEA, pengukuran prestasi kontinjen negara tidak boleh bersandarkan kepada pingat dipertandingkan kerana setiap tuan rumah Sukan SEA akan menganjurkan acara sukan yang memberi pulangan pingat terbanyak kepada tuan rumah.

"Sukan dan acara kekuatan Malaysia yang tidak akan dipertandingkan adalah basikal trek, bowling padang, pelayaran, hoki dan skuasy," katanya.

Mengenai suntikan dana sejumlah RM240 juta bagi Program Podium dalam tempoh empat tahun, beliau berkata ia akan menunjukkan peningkatan bilangan atlet daripada 321 atlet kepada 776 atlet dengan melibatkan 41 jenis sukan.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah 776 atlet ini, seramai 262 atlet normal dan 84 atlet para yang merangkumi 26 jenis sukan telah menerima tawaran kontrak baharu bagi menjalani program latihan sepenuh masa tahun ini, manakala 235 atlet normal dan 195 atlet para merangkumi 26 jenis sukan akan menjalani program latihan secara berfasa.

"Antara kemudahan yang akan disediakan adalah program latihan jurulatih, kemudahan latihan, penginapan dan makanan," katanya menjawab soalan asal Hisamudin yang meminta kementerian itu menyenaraikan 288 atlet bagi menghadapi Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel sepanjang tahun ini menerusi program elit di bawah MSN.

Lian Ker berkata, menerusi kelompok atlet yang telah dikenal pasti itu, Kementerian Belia dan Sukan yakin prestasi atlet negara akan dapat dipertingkatkan serta mencapai matlamat yang disasarkan nanti. - Bernama