JHEAIPP pantau 120 lokasi panas ponteng puasa sepanjang Ramadan

JHEAIPP akan menjalankan operasi pemantauan di 120 lokasi panas bagi membanteras tindakan tidak menghormati Ramadan dengan makan dan minum di khalayak ramai. - Foto hiasan (Gambar kecil: Ahmad Zakiyuddin)
JHEAIPP akan menjalankan operasi pemantauan di 120 lokasi panas bagi membanteras tindakan tidak menghormati Ramadan dengan makan dan minum di khalayak ramai. - Foto hiasan (Gambar kecil: Ahmad Zakiyuddin)
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan menjalankan operasi pemantauan di 120 lokasi panas dalam meningkatkan kesedaran selain membanteras tindakan tidak menghormati Ramadan dengan sengaja makan dan minum di khalayak ramai.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, operasi tersebut turut dibantu agensi lain antaranya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Kesihatan negeri dan Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP.

"Sepanjang Ramadan ini, bahagian penguatkuasaan JHEAIPP akan menjalankan pemantauan di kira-kira 120 lokasi panas.

"Operasi Bersepadu Bulan Ramadan ini adalah manifestasi kesungguhan pentadbiran Islam negeri ini untuk mengajak umat Islam agar sama-sama memuliakan bulan suci yang bakal disambut beberapa hari sahaja lagi. Program ini bakal dilaksanakan secara kolektif oleh beberapa agensi lain.

"Operasi ini juga turut memberi tumpuan kepada aspek kebersihan premis dan pengendalian makanan, pematuhan terhadap syarat-syarat permohonan lesen dan lain-lain yang berkaitan mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan-peraturan yang berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan berhubung Kempen Hormati Ramadan Peringkat Negeri Pulau Pinang pada Khamis.

Katanya, objektif operasi bersepadu tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam melalui kempen berkenaan.

"Selain itu, ia juga untuk membanteras tindakan tidak menghormati bulan Ramadan seperti sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syar’ie. Individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

"Antara kesalahan itu adalah menjual kepada mana-mana orang Islam makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap ketika waktu berpuasa. Selain itu, minum, menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya secara terbuka atau tempat awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zakiyuddin berkata, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

"Semoga dengan pelaksanaan operasi bersepadu ini mampu menimbulkan kesedaran buat umat Islam di negeri ini untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini adalah Ramadan yang terbaik bagi kita semua," katanya.