Tanam satu pokok bagi setiap kelahiran di Pahang

Shahaniza
Shahaniza
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyokong usaha Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang akan memulakan program baharu iaitu menanam pokok bagi setiap kelahiran di Pahang.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, setiap anak pokok akan ditanda nama dan akan ditanam di lokasi yang sesuai di setiap daerah ini.

Menurutnya, program itu akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri dan setakat ini Pantai Serandu di Pekan telah dipilih sebagai antara lokasi program penanaman pokok tersebut.

"JPNP akan mengenal pasti pokok yang sesuai untuk ditanam mengikut landskap kawasan masing-masing. Pokok yang ditanam bukan sahaja sebagai peluang untuk memperingati kelahiran anak tetapi menjadikan tapak tersebut sebagai tarikan pelancong.

"Mungkin, apabila anak itu boleh kembali melawat tapak dan mengambil gambar pada hari lahir mereka," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut program menanam pokok bagi setiap bayi yang dilahirkan di Pahang sambil menjawab soalan bertulis Datin Samsiah Arshad(BN-Bukit Ibam).

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan inisiatif Pahang Pride Kid akan menyaksikan anak kelahiran Pahang tahun ini akan menerima bantuan RM200 termasuk simpanan bank RM100 dan produk penjagaan bayi bernilai RM100.

Jelasnya, inisiatif itu membuktikan kerajaan negeri menggalakkan pertumbuhan penduduk di mana Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia kini mempunyai kira-kira 1.2 juta orang.

Artikel Berkaitan:

Pada persidangan itu, Rosli Abdul Jabar (Pas-Tanjung Lumpur) turut mencadangkan supaya kerajaan Pahang memberi insentif kepada wanita yang melahirkan ramai anak dan cadangan itu dipersetujui Shahaniza.

Shahaniza turut menjelaskan perkara itu akan dibincangkan semasa mesyuarat majlis eksekutif negeri.

Mengenai soalan berasingan Lee Chin Chen (PH-Bilut) mengenai rancangan memperluaskan aplikasi Pahang Go khususnya ciri parkir digital ke semua daerah, Exco Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia akan dilakukan berdasarkan kesesuaian.

“Pahang adalah antara negeri pertama yang memperkenalkan ciri tempat letak kereta sebegitu di mana pengguna boleh menambah nilai bila-bila masa, di mana-mana, dalam beberapa saat tanpa perlu membeli kupon.

"Kemudahan tempat letak kereta akan diperluaskan ke bahagian lain yang kini tiada dalam senarai Pahang Go tetapi ia akan dilakukan bergantung kepada jumlah kenderaan dan kesesuaian," katanya.