Pemuda tidak pulang ke rumah ditemukan lemas

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

DUNGUN - Kebimbangan ahli keluarga terhadap seorang pemuda yang tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di tepi sungai di Kampung Tanjung Pagar, di sini, pada Isnin.

Mangsa, Mohd Shafeqal Mohd Fadli, 31, ditemukan meninggal dunia oleh adiknya sekitar jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa yang tinggal di kawasan Perumahan Bukit Tebuk, di sini, dikatakan keluar rumah dan tidak pulang sepanjang hari sejak Sabtu lalu.

"Bimbang dengan keadaan itu, adik mangsa berusia 25 tahun itu mula menjejaki abangnya namun hanya menemui motosikal dinaiki abangnya di tepi sungai.

"Usaha mencari disambung semula di lokasi sama dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring di tepi sungai itu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke bilik forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

"Siasatan awal mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Manakala hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian akibat lemas," katanya.

Artikel Berkaitan: