Siapa sebenar nikmati barangan bersubsidi?

Tujuh barangan keperluan asas yang disubsidi kerajaan demi meringankan beban pengguna, terutama sekali golongan berpendapatan rendah.
Tujuh barangan keperluan asas yang disubsidi kerajaan demi meringankan beban pengguna, terutama sekali golongan berpendapatan rendah.
A
A
A

Bila kerajaan arahkan supaya ayam standard dijual pada harga RM8.90 sekilogram, sedar atau tidak, sebenarnya kerajaan terpaksa memperuntukkan berjuta ringgit subsidi kepada penternak ayam dan telur. Jika tidak, tidak mungkin penternak akan setuju kerana kos operasi ladang telah meningkat akibat kenaikan harga jagung, soya, vitamin, ubat-ubatan dan tenaga kerja.

Kerajaan selalunya mengeluarkan kos berbillion ringgit untuk mencapai beberapa tujuan strategik melalui subsidi. Subsidi tidak semuanya dalam bentuk tunai atau barangan kepada rakyat. Apapun bentuknya, subsidi itu adalah kos dan beban kewangan yang semakin meninggi kepada kerajaan.

Ada subsidi baja yang disasarkan untuk petani. Ada subsidi diesel untuk nelayan. Dan ada juga subsidi yang diberikan kepada pengeluar untuk mengawal harga peringkat pengguna seperti harga petrol, minyak masak, ayam dan telur.

Tanpa subsidi daripada kerajaan, harga sesuatu barangan akan lebih tinggi daripada harga pasaran. Ayam dan telur adalah salah satu contoh yang telah diberikan.

Dahulu subsidi untuk minyak masak sawit tulin memerlukan sekitar RM400 juta setahun untuk ia dijual pada harga RM2.50 sekilogram.

Kini apabila minyak sawit mentah telah mencecah lebih daripada RM5,000 per tan metrik, kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih daripada RM3 billion setahun bila kerajaan tentukan harga maksimum bagi minyak masak sawit tulin kemasan botol 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg.

Itu baru minyak masak. Belum lagi Petrol RON95 dan diesel yang harga silingnya telah ditentukan oleh kerajaan pada RM2.05 dan RM2.15 seliter sejak Ogos 2020. Dan harga itu adalah ketika minyak mentah di pasaran dunia adalah USD55 setong.

Kini subsidi RON95 dan diesel pasti mencanak bila harga minyak mentah telah mencecah USD110 setong. Kita andaikan subsidi RON95 adalah RM0.50 seliter ketika harga minyak di paras USD55 setong.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan RON95 rakyat Malaysia dilaporkan sebanyak 14.4 billion liter setahun. Untuk memudahkan pengiraan, jika RM1 adalah subsidi untuk setiap liter RON95, bermakna jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan untuk petrol RON95 sahaja adalah RM14.4 bilion setahun.

Belum lagi diesel, minyak masak, gas LPG 14kg, tepung kegunaan am, gula, ayam dan telur. Tetapi persoalannya, apakah subsidi itu benar-benar sampai dan dinikmati oleh golongan yang disasarkan?Lebih malang, ramai rakyat tidak menghargai malah memperlekaehkan subsidi yang diberikan. Apalagi kalau ia disalahgunakan?

Media pernah melaporkan tentang penyelewengan subsidi diesel kepada nelayan dan subsidi baja kepada petani. Subsidi yang menelan belanja berbilion ringgit setahun itu tidak menghasilkan hasil tanaman dan tangkapan ikan yang diharapkan.

Malah ada nelayan dan petani yang ditangkap kerana menjual diesel kepada nelayan asing dan ada petani yang menjual baja kepada tauke-tauke besar. Kenapa?

Pastinya kerana hendak cepat mendapat keuntungan dan malas hendak berusaha di laut atau di bendang. Ini bukan omongan kosong, tetapi realiti yang berlaku dalam masyarakat kita.

No Image Caption

Satu lagi masalah besar yang dihadapi kerajaan ialah subsidi tidak dinikmati sepenuhnya oleh golongan sasar. Ini dilema sejak dulu.

Kita ambil contoh penggunaan RON95 yang tidak terbuka kepada semua pengguna. Bermakna kerajaan memberi subsidi RM1 setiap liter petrol RON95 yang masuk ke tangki kenderaan.

Golongan sasar B40 selalunya menggunakan motorsikal dan mungkin kereta kompak Kancil, Axia, Myvi, Saga atau Pesona kalau mereka memiliki kereta.

Yang memiliki motor akan mengisi 5 liter setiap minggu dan 20 liter setiap bulan. Subsidi RON95 yang dinikmati sekitar RM20 subsidi sebulan.

Yang memiliki kereta pula akan mengisi penuh 35 liter setiap dua minggu atau 70 liter sebulan. Bermakna golongan ini menikmati RM70 subsidi sebulan.

Oleh kerana harga RON97 telah meningkat tinggi, golongan T20 juga ramai yang telah beralih ke RON95 kecuali untuk perjalanan jarak jauh. Mereka biasanya mempunyai kenderaan mewah dan bersaiz besar, selalunya memerlukan 70 liter setiap 10 hari dan 210 liter sebulan untuk berulang alik ke tempat kerja.

Golongan T20 sebenarnya lebih menikmati subsidi sekitar RM210 sebulan, jauh lebih tinggi dari golongan B40 yang menikmati antara RM20 hingga RM70 sebulan. Bermakna subsidi tidak tersalur kepada golongan yang disasarkan.

Begitu juga dengan minyak masak bersubsidi polibeg. Yang lebih banyak menikmati subsidi minyak masak adalah golongan penjaja kecil, peniaga kedai makan dan restoran. Golongan ini selalunya membeli dalam kuantiti yang banyak menyebabkan bekalan di satu-satu tempat kehabisan.

Itu sebabnya kenapa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenakan had pembelian 3kg (3 bungkus) setiap seorang walaupun undang-undang ini mudah diingkari.

Gas LPG 14kg yang harganya dikawal pada RM26.60 (tanpa caj penghantaran) untuk kegunaan isi rumah juga dengarnya lebih banyak dinikmati oleh peniaga kedai makan, restoran dan kedai dobi layan diri.

Ini belum dihitung penggunaan barang bersubsidi oleh warga asing yang berjumlah lebih 3 juta di negara ini. Warga asing boleh membeli minyak masak, LPG, RON95, diesel, tepung dan gula sewenang-wenangnya tanpa had. Tidak hairanlah Malaysia adalah syurga buat mereka.

Subsidi bertujuan untuk meringankan beban rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah. Tetapi subsidi yang disalurkan untuk mengurangkan harga sesuatu barangan terbukti tidak mencapai sasarannya.

Seharusnya rakyat bersyukur dengan penyaluran subsidi dalam pelbagai bentuk ini. Pada masa yang sama, kerajaan harus memikirkan semula untuk mengurangkan ketirisan dalam pelaksanaan subsidi menerusi harga barangan terkawal seperti minyak masak, LPG dan RON95 benar-benar sampai ke golongan sasar di kalangan rakyat dan di masa yang sama tidak membebani fiskal kerajaan.

Dengan meluasnya adaptasi e-wallet di kalangan rakyat, sudah tiba masanya subsidi disalurkan terus ke e-wallet golongan sasar dalam bentuk tunai di mana pemantauan dapat dibuat terhadap barangan yang dibeli.

Harga barang ketika itu akan dijual mengikut harga pasaran. Penjimatan itu dapat disalurkan kepada projek pembangunan berorientasikan rakyat yang lebih berdaya maju.