Hup Wei mampu bentuk lebih ramai jagoan lompat tinggi

Hup Wei ketika beraksi di Sukan Asia Thailand 2007. FOTO: AFP
Hup Wei ketika beraksi di Sukan Asia Thailand 2007. FOTO: AFP
A
A
A

BEKAS jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei memiliki kriteria sebagai seorang jurulatih yang mampu melahirkan lebih ramai jagoan dalam acara itu, kata Ketua Jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Menurutnya, dengan pengalaman dan pengetahuan luas Hup Wei, juara Kejohanan Asia 2007 itu bukan sahaja berupaya membentuk atlet muda yang boleh mengikut jejak langkahnya, malah mampu mengatasi pencapaian yang pernah dilakar beliau.

Beliau berkata, pengalaman Hup Wei beraksi dalam pelbagai pertandingan bermula dari peringkat sekolah hingga berjaya membuat penampilan di pentas Sukan Olimpik membuktikan beliau seorang atlet yang lengkap dan mampu menjadi contoh terbaik.

"Saya yakin dan percaya Hup Wei adalah seorang legenda (lompat tinggi) dan mampu menjadi legenda dalam bidang kejurulatihan," katanya ketika ditemui pemberita.

Pada Ahad, Hup Wei yang juga pemenang empat pingat emas Sukan SEA bermula edisi Korat 2007, Vientiane 2009, Jakarta-Palembang 2011 dan Manila 2019 mengumumkan persaraan selepas 18 tahun menabur bakti dalam sukan olahraga.

Sepanjang kariernya bersama kem olahraga kebangsaan, atlet kelahiran Kajang itu memiliki rekod catatan lompatan terbaik peribadi 2.29 meter (m) telah membuat tiga penampilan di temasya Sukan Olimpik, iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Beliau yang akan menginjak usia 35 tahun pada Mei ini, turut beraksi dalam tiga temasya Sukan Asia iaitu Doha 2006, Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018, selain dua penampilan di Sukan Komanwel iaitu New Delhi 2010 dan Gold Coast 2018.

Dalam pada itu, atlet pecut 110m berpagar negara Rayzam Shah Wan Sofian yang mula mengenali Hup Wei sejak 2004 percaya rakan karibnya itu tidak mempunyai masalah untuk menjadi seorang jurulatih yang baik seterusnya melahirkan lebih ramai atlet sepertinya.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap dia akan melahirkan 10 orang lagi Lee Hup Wei selepas ini yang akan menjadi lebih bagus daripada dia. Dia (Hup Wei) memang seorang yang baik, pemurah dan senang bergaul. Beliau juga sentiasa senyum dan tak suka marah serta adalah seorang 'fighter'," katanya.

Sementara itu, pemenang pingat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan mengakui Hup Wei adalah seorang senior yang banyak memberi tunjuk ajar dan sering memberikan kata-kata semangat kepadanya.

"Bila saya bersedih disebabkan masalah kecederaan dia (Hup Wei) banyak bagi nasihat, dia nasihatkan saya supaya sabar dan jangan bersara awal," kata pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.18 saat itu.

Hup Wei dijangka menjadi jurulatih skuad pelapis lompat tinggi negara, serta merancang membuka akademinya sendiri dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berbakat yang mampu mengharumkan nama negara pasca persaraannya. - Bernama