Sektor pembinaan catat kemalangan maut tertinggi di Sarawak

Gambar hiasan
A
A

KUCHING - Sektor pembinaan mencatat kadar kemalangan maut di tempat kerja paling tinggi di Sarawak iaitu 24 kes kes setakat ini tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sarawak, Dr Nor Halim Hasan berkata, jumlahnya pada tahun lepas adalah 47 kes.

Beliau berkata daripada sejumlah 24 kes itu, enam kes maut disebabkan jatuh dari tempat tinggi semasa bekerja.

"Berdasarkan statistik 2018, pihak JKKP Sarawak telah mendakwa tiga syarikat pembinaan dan mengeluarkan 26 kompaun ke atas 11 Tempat kerja.

"Jumlah keseluruhan penalti adalah sebanyak RM70,000," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Operasi Tapak Bina di sini hari ini.

Katanya, pihak JKKP Sarawak telah menjalankan ''Operasi Cegah Jatuh, Cegah Runtuh di Sektor Pembinaan” dari 25 Feb 2019 hingga 24 Mac tahun ini yang memberikan fokus kepada aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja-kerja konkrit.

Katanya, sebanyak 19 tapak bina telah diperiksa secara mengejut di seluruh Sarawak dan hasil pemeriksaan, lima tapak disita, 12 diberi notis larangan dan 81 notis pembaikan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Nor Halim berkata pemantauan berterusan di tapak bina juga akan dijalankan melalui Unit Peronda Keselamatan (Safety Patrol Unit) (SPU) bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Untuk rekod, katanya, kemalangan di tempat kerja di negara ini pada tahun 2017 adalah 116 kes setiap hari iaitu bersamaan 42,513 kes setahun, manakala kemalangan maut pula ialah dua kes sehari atau 711 kes setahun.

Jesteru, beliau menggesa semua pemain industri pembinaan iaitu klien, pereka dan pembina menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terjamin. - Bernama