Dua Orang Asli maut, Kancil bertembung Hilux

Keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki dua mangsa selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Chini-Kuantan pada Ahad.
Keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki dua mangsa selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Chini-Kuantan pada Ahad.
A
A
A

PEKAN - Pemandu dan penumpang sebuah kereta maut selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang wanita di Kilometer 12, Jalan Chini-Kuantan di sini pada Ahad.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Kancil, Hasyim Amin, 29, dan penumpang, Dolah Muhtar, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Afiza Abdullah, 35, dan penumpangnya, Ab Razak Ab Hamid, 38, hanya cedera ringan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika dua rakan berketurunan Orang Asli itu dalam perjalanan dari arah Chini menghala ke Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Hilux dari arah Kuantan menghala ke Chini.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat manakala pemandu dan penumpang Toyota Hilux dibawa ke Klinik Kesihatan Chini untuk mendapat rawatan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, kemalangan meragut dua nyawa itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: