Amran Tompel meninggal dunia

Amran Tompel - Foto Syamsul Amri Ismail Official
Amran Tompel - Foto Syamsul Amri Ismail Official
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pelakon dan pelawak terkenal, Amran Tompel atau nama sebenarnya, Amran Tompel Ramlie meninggal dunia pada usia 72 tahun, petang Sabtu.

Berita kematian Allahyarham dimaklumkan oleh bekas isterinya, Anas Salmee Syed Mohamad, 53, ketika dihubungi Sinar Harian.

Amran yang tinggal di rumah sewa anaknya di Taman Matahari Height, Senawang di sini, sebelum ini terpaksa bergantung sepenuhnya dengan anak-anak untuk menguruskan diri.

Anas Salmee berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 5.20 petang oleh pegawai perubatan yang datang ke rumah sebaik mendapati Allahyarham tidak memberikan sebarang respon lebih kurang jam 4.40 petang.

"Pagi tadi (Sabtu) seperti biasa saya bantu anak-anak uruskan arwah dan dia dalam keadaan baik saja.

"Selepas masak dan kemas rumah, saya menjenguk arwah yang baring di atas katil di ruang tamu dan tengok dia diam saja sebelum anak beritahu ayah sudah tiada," katanya.

Menurutnya, Allahyarham sebelum ini terlantar sakit akibat serangan angin ahmar selain sakit jantung dan darah tinggi.

Sinar Harian difahamkan jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada Ahad di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang.

Artikel Berkaitan: