Program Pendidikan Pradialisis diperkenal tahun depan

Khairy - Foto Bernama
Khairy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Pendidikan Pradialisis yang dikhususkan kepada pesakit buah pinggang kronik tahap 4 dan 5 akan diperkenalkan di semua fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara mulai tahun depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pelaksanaan secara menyeluruh modul khas itu akan dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperoleh model terbaik melalui data dan penyelidikan.

"Untuk permulaan, program ini akan dimulakan di Pahang sebelum dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Duta Ginjal dan Program Pendidikan Pradialisis anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) di sini pada Sabtu.

Khairy berkata, program yang dibangunkan sekumpulan pakar perubatan itu dijangka dapat memberikan maklumat penting kepada pesakit terbabit serta membantu mereka untuk memilih jenis rawatan yang bersesuaian dengan tahap penyakit yang dihidapi.

"Aktiviti pendidikan kesihatan seumpama ini merupakan salah satu cara kita (KKM) memperkasakan orang ramai, pesakit dan ahli keluarga agar lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan diri masing-masing,” katanya yang turut dilantik sebagai Duta Ginjal.

Beliau berkata, penilaian KKM pada 2020 terhadap keberkesanan program tersebut di luar negara mendapati ia berkesan dalam meningkatkan pengetahuan pesakit dan ahli keluarga, meningkatkan pemindahan buah pinggang dan membantu pesakit memilih rawatan dialisis di rumah sama ada secara dialisis peritoneal atau rawatan konservatif (tanpa dialisis).

Selain program tersebut, Khairy berkata, KKM telah melancarkan laman sesawang www.mybuahpinggang.com pada 27 Dis 2020 dan Facebook MYBuahPinggang pada 18 Ogos 2019 sebagai medium perkongsian dan penyampaian maklumat yang tepat berhubung penyakit buah pinggang serta kaedah rawatan.

Berkongsi data terkini daripada ‘Malaysia Dialysis and Transplantation Registry’, Khairy berkata, terdapat 49,111 pesakit buah pinggang menjalani rawatan dialisis sama ada secara hemodialisis atau peritonal dialisis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat 8,000 pesakit buah pinggang baharu dalam tempoh setahun di negara ini.

"Data juga melaporkan, ketika ini terdapat 4,722 pesakit buah pinggang sedang menunggu transplan,” katanya.

Mengenai perancangan akan datang, beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk membangunkan mekanisme bagi mengenal pasti kes berpotensi sebagai penderma organ dari kalangan pesakit kematian otak.

"Saya akan mengadakan libat urus dengan doktor-doktor pakar khususnya yang bertugas di unit rawatan rapi untuk melihat langkah penambahbaikan yang boleh kita lakukan bersama,” katanya. - Bernama