Pemulihan pasca pandemik perlu kerjasama berteraskan matlamat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepentingan kerjasama awam-swasta yang berteraskan matlamat, mesra dan berterusan perlu diberi penekanan dalam menangani isu dan cabaran dalam tempoh pemulihan ekonomi pasca pandemik.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, matlamat sama sektor kerajaan dan swasta ialah terus meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global melalui kecekapan, produktiviti dan kemampanan.

"Mengadakan rundingan awam, menjalankan analisis impak pengawalseliaan sebelum memperkenalkan atau meminda peraturan dan memudahkan serahan isu melalui portal Rundingan Awam Bersepadu untuk resolusi oleh MyMudah merupakan antara pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menggalakkan kerjasama sektor awam-swasta,” katanya pada Perbincangan Meja Bulat (RTD) Pemudah mengenai Ekonomi Pasca Pandemik, Dasar Awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Beliau berkata mengenal pasti isu dan cabaran hanyalah langkah pertama dalam proses menambah baik persekitaran untuk perniagaan berjaya.

Sementara itu, Pro Naib Canselor Sunway University Profesor Mahendhiran Nair berkata bagi Malaysia pulih selepas pandemik, penyusunan yang teliti untuk ekosistem inovasi di setiap lokasi di seluruh negara akan menggerakkan setiap ekosistem dan komuniti dalam rantaian nilai inovasi untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Beliau berkata terdapat pelbagai langkah yang telah diambil dalam Rancangan Malaysia Ke-12, bagaimanapun banyak perkara yang perlu dilakukan di lapangan dengan pihak berkepentingan mengenal pasti cabaran mereka.

"Kita perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan di lapangan dari Perlis hingga Johor, Sabah dan Sarawak. Kita perlu turun dan memahami komuniti di lapangan dan bagaimana kita mendapatkan sumber dari sana untuk transformasi,” katanya.

Beliau menekankan bahawa tugas itu bukan hanya peranan kerajaan tetapi juga industri, komuniti dan institusi pembelajaran apabila transformasi perlu berlaku di peringkat bawah.

Artikel Berkaitan:

"Justeru itu, dasar perlu lebih bersasar dan konsisten,” katanya. - Bernama