Maritim Terengganu lupus dua bot nelayan Vietnam

Salah satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Perhentian.
Salah satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Perhentian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua bot nelayan Vietnam yang diucut hak dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran perairan Pulau Perhentian pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot dinaiki 26 kru bersama tekong itu ditahan dan dilucut hak oleh mahkamah pada tahun lalu atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

"Mahkamah mengenakan denda RM2.5 juta ke atas dua bot ini, namun tiada sebarang denda dijelaskan oleh pemilik dan mahkamah memutuskan supaya ia dilucut hak untuk dilupuskan.

"Selain itu, kesemua 26 nelayan warga Vietnam dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut Muhammad Suffi, kesemua nelayan Vietnam itu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985 iaitu memasuki perairan perikanan negara tanpa kebenaran Ketua Pegarah Perikanan Malaysia.

Beliau menjelaskan, bot berkenaan sebelum ini ditahan Kapal Maritim (KM) Pekan dan KM Langkawi melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut.

Muhammad Suffi
Muhammad Suffi

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, aktiviti pelupusan kali ketiga itu turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, Maritim Terengganu telah melupuskan serta menenggelamkan 139 bot nelayan asing untuk dijadikan tukun di sepanjang perairan Terengganu dengan anggaran nilai RM205.5 juta.

"Sebanyak 30 bot masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu," katanya.

Muhammad Suffi berkata, kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan inisiatif memulihara, menggalakkan biodiversiti marin, meningkatkan sektor pelancongan terutama aktiviti rekreasi selam serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang serta membanteras kemasukan nelayan asing ke perairan negara.

"Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan bagi mengesan serta memerangi isu pencerobohan nelayan asing serta aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan Terengganu.

"Masyarakat terutama komuniti maritim diminta untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999," katanya.