PM ucap takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat China

Serpihan pesawat penumpang Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines terhempas.- Foto: EPA
Serpihan pesawat penumpang Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines terhempas.- Foto: EPA
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat Boeing 737-800 di wilayah Guangxi, China pada Isnin.

Ismail Sabri dalam satu hantaran di Twitternya pada Selasa berkata, beliau turut melahirkan rasa sedih dengan perkhabaran tersebut yang mana mengorbankan 132 penumpang dan anak kapal.

“Saya sedih apabila mendapat perkhabaran tentang pesawat penumpang Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines terhempas dan mengorbankan 132 penumpang dan anak kapal di Wilayah Guangxi, China semalam (Isnin).

“Saya dan seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan takziah yang mendalam kepada kerajaan China dan keluarga mangsa,” ciapnya.

Sebelum ini media melaporkan sebuah pesawat yang membawa 132 penumpang terhempas di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China pada Isnin petang.

Pesawat Boeing 737 yang berlepas dari Kunming menuju ke Guangzhou itu terhempas di kawasan pergunungan berhampiran perkampungan Molang di daerah Tengxian, bandar Wuzhou pada 2.38 petang.

Wisma Putra dalam kenyataannya pada Selasa turut memaklumkan setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terbabit dalam nahas itu.

Artikel Berkaitan: