FAM tubuh Pasukan Prestasi Tinggi

Scott O’Donell
Scott O’Donell
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengikuti cadangan penambahbaikan yang digariskan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya sebelum ini dengan menubuhkan Pasukan Prestasi Tinggi.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell berkata, pasukan itu terdiri daripada ahli fisiologi, psikologi dan pakar pemakanan sebagai tambahan kepada staf sokongan sedia ada.

Menurutnya, kesemua staf berkenaan akan melaporkan diri kepada ketua jurulatih pasukan-pasukan kebangsaan serta kepada Pengurus Prestasi Tinggi, Reuben Jude Balraj.

“Antara tugas utama Pasukan Prestasi Tinggi ialah menyusun keputusan-keputusan ujian, analisis perlawanan, laporan kecederaan dan sebagainya untuk digunakan sebagai perbandingan dan juga perancangan masa depan pasukan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya yang diketuai bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan menggariskan 10 cadangan bagi mengatasi kelemahan dalam sistem pengurusan skuad Harimau Malaya yang harus diambil perhatian segera oleh FAM.

Antara cadangan badan tersebut termasuklah mewujudkan Pasukan Prestasi Tinggi yang terdiri daripada kakitangan teknikal, sains dan perubatan sukan, penganalisa serta pegawai statistik seperti yang digunakan di luar negara untuk meningkatkan prestasi pasukan secara lebih berstruktur.

Pada masa sama, FAM mengikuti saranan badan siasatan bebas itu apabila pengendali Harimau Malaya yang kini dipegang Kim Pan-gon turut memikul tugas sebagai pengurus pasukan.

Artikel Berkaitan: