X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Bekas kapten Melaka, Azizan Baba meninggal dunia

MUSA menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat bola sepak Melaka. - Foto FB MUSA
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) menzahirkan ucapan takziah buat keluarga bekas pemain dan jurulatih pasukan Melaka United bawah 14 tahun, Azizan Baba yang meninggal dunia pagi Selasa.

MUSA dalam satu kenyataan memaklumkan Azizan Baba, 41, memulakan kerjaya sebagai pemain Piala Belia dan Piala Presiden sejak 1996 dan seterusnya bersama pasukan Melaka sebelum berhijrah ke beberapa pasukan lain termasuk Johor FC, Sarawak FA dan Pulau Pinang FA.

"Sesungguhnya pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat bola sepak Melaka.

“Kami di MUSA mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Azizan yang merupakan bekas kapten pasukan Hang Tuah sebelum ini dilaporkan menderita kanser pangkal paha sejak Ogos 2020 yang berpunca daripada kecederaan hamstring selepas bermain bola sepak dalam aksi persahabatan bersama bekas pemain skuad Melaka.

Sejak disahkan menghidap penyakit tersebut, Azizan dilaporkan telah menjalani beberapa siri pembedahan dalam usaha beliau untuk pulih.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya dilaporkan semakin terjejas pada tahun ini.

Untuk rekod, kali terakhir Azizan terlibat di dalam bola sepak adalah selaku jurulatih bola sepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang beraksi di Liga M3 sebelum ini.

Beliau meninggalkan seorang balu dan lapan anak berusia antara dua hingga 15 tahun.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!