Bau asap, bahang selamatkan warga emas sedang tidur

Seramai 25 anggota bomba dihantar ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan. - Gambar hiasan
Seramai 25 anggota bomba dihantar ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bau asap dan bahang panas menyelamatkan seorang warga emas dan isterinya yang sedang tidur apabila sebahagian besar kediaman mereka musnah dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Jalan Dato Haji Harun, Taman Taynton View di sini, awal pagi Isnin.

Mangsa berusia 72 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, bau asap menyebabkan dia terbangun pada kira-kira jam 3 pagi dan melihat api telah marak di bahagian siling rumah teres setingkat itu.

"Saya dan isteri segera menyelamatkan diri. Saya tidak pasti bagaimana kebakaran itu bermula kerana sebahagian rumah saya termasuk tiga buah bilik terbakar, hanya bahagian dapur dan bilik belakang terselamat.

Selain itu, kereta yang diparkir di hadapan rumah juga musnah dan banyak dokumen penting seperti kad pengenalan serta lesen memandu tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian, pada Isnin.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Leong, 43, berkata, dia bersyukur kerana tiada ahli keluarganya yang cedera dalam kejadian itu.

"Saya terdengar bunyi seperti benda retak dan nampak asap keluar. Saya bergegas keluar dari rumah dan nampak api sudah besar, sebelum menghubungi pihak bomba. Semua ahli keluarga saya selamat, cuma atap dan siling bilik (hadapan) rumah rosak dalam kebakaran ini,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, seramai 25 anggota bomba dihantar ke lokasi kebakaran sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.08 pagi.

"Kerja-kerja memadamkan api mengalami kesukaran kerana arus elektrik yang mengalir dan ‘fire load’ yang banyak, namun kebakaran berjaya dikawal kurang 30 minit daripada merebak ke rumah bersebelahan,” katanya sambil memberitahu punca kebakaran sedang disiasat. - Bernama

Artikel Berkaitan: