Misi pencarian pelari pecut negara kelas dunia

IMBAS KEMBALI...Bingtian (kanan) ketika beraksi dalam acara separuh akhir 100m lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo, pada 1 Ogos 2021. FOTO: AFP
IMBAS KEMBALI...Bingtian (kanan) ketika beraksi dalam acara separuh akhir 100m lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo, pada 1 Ogos 2021. FOTO: AFP
A
A
A

MISI mencari pelari pecut negara yang mampu merekodkan kepantasan larian di bawah 10 saat (s) yang pertama di Asia Tenggara menerusi Projek Larian 100 Meter (m) Bawah 10 Saat (B10), bermula Khamis lalu.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan ujian kelayakan pertama zon selatan bagi projek usaha sama antara kementerian itu dan Pusat Sukan Tumpuan (PST) Olahraga KPT di Universiti Putra Malaysia (UPM) berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri di Johor.

Selain memecahkan rekod larian di bawah 10s, Projek B10 bertujuan mencari pelari versatil yang mampu menguasai acara lain seperti 200m dan lari berganti-ganti 4x100m.

Program khas selama lima tahun itu menyasarkan 10 hingga 20 pelatih yang berjaya melepasi ujian percubaan untuk ditempatkan secara berpusat dan diberikan latihan serta pendedahan secukupnya oleh barisan jurulatih pecut ternama negara.

Pelatih juga akan diperkukuhkan dengan bimbingan barisan bekas jaguh pecut negara dalam Projek B10.

Antara syarat kelayakan adalah atlet lelaki berumur 18 hingga 23 tahun, mampu berlari di bawah empat saat pada jarak 30m, mampu berlari kurang daripada 6.50s untuk jarak 60m, berupaya melakukan lompatan menegak berdiri lebih dari 55cm selain mempunyai ketinggian fizikal lebih 1.78cm.

"KPT amat yakin dan percaya dengan kemampuan jurulatih-jurulatih tempatan dalam menggembleng tenaga dan kepakaran masing-masing demi merealisasikan impian negara,” menurut kenyataan itu.

Projek B10 dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 5 November tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis perasmian itu, turut diumumkan atlet berpotensi untuk tersenarai dalam Projek B10 adalah Jonathan Nyepa yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.28s.

Diikuti Badrul Hisyam Abdul Manap (10.29s), Muhammad Aqil Yasmin (10.39s), Muhammad Zulfiqar Ismail (10.40s), Muhammad Aiedel Saadon (10.69s), Muhammad Solihin Jamali (10.62s) dan Muhammad Nazrul Naim Azman (10.70s).

Sebagai rekod, pelari pecut China, Su Bingtian merupakan pemegang rekod 100m Asia dengan catatan 9.83s yang dilakukan pada Ogos 2021 manakala jaguh Indonesia, Lalu Muhammad Zohri dinobatkan sebagai pelari terpantas Asia Tenggara dengan rekod 100m iaitu 10.03s yang dicipta pada Mei 2019.