Projek WCE tawar lebih 200 jawatan kosong

Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd Datuk Neoh Soon Hiong memberi penerangan ringkas perkembangan pelaksanaan Lebuhraya WCE kepada Ahmad Faizal (tengah) dan Howard Lee di Pejabat Menteri Besar, hari ini.
Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd Datuk Neoh Soon Hiong memberi penerangan ringkas perkembangan pelaksanaan Lebuhraya WCE kepada Ahmad Faizal (tengah) dan Howard Lee di Pejabat Menteri Besar, hari ini.
A
A
A

IPOH - Projek jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang dibuka secara berperingkat bermula Mei ini menawarkan lebih 200 penjawatan untuk mereka yang berkelayakan akademik daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga peringkat ijazah.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, penduduk tempatan diberi keutamaan untuk mengisi tawaran kerja berkenaan antaranya pegawai perkhidmatan pelanggan, penyelia, eksekutif, juruteknik dan pengawal trafik.

Menurutnya, bagi peringkat permulaan, kerajaan negeri menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) yang telah diberikan tanggungjawab untuk mengenalpasti individu berkelayakan akan menjalankan tiga sesi temuduga bermula esok hingga Ahad ini.

“Untuk peringkat awal ini kita adakan sesi temuduga terbuka untuk mengisi 120 jawatan terlebih dahulu, tawaran pekerjaan ini bagaimanapun akan meningkat kepada 220 jawatan sebaik jajaran beroperasi sepenuhnya.

“Keutamaan kita berikan kepada penduduk tempatan terutamanya golongan belia, mereka bolehlah hadir ke lokasi sesi temuduga ditetapkan iaitu di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pada esok; Dewan Inderawati Beruas (Sabtu) dan Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Manjung (Ahad),” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, selain gaji pokok, WCE turut menawarkan pakej saraan yang menarik termasuklah elaun syif dan kerja lebih masa, perubatan serta insurans.

“Mereka yang terpilih ini juga mempunyai peluang mengembangkan kerjaya mereka dengan menjalani latihan dalaman dan luaran dalam bidang disediakan,” katanya.

Jajaran Lebuhraya WCE ini merentasi Selangor dan Perak sepanjang 233km dengan di Selangor bermula dari Jalan Banting - KLIA (B18) hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km.

Artikel Berkaitan:

Jajaran Lebuhraya WCE di Perak mempunyai empat Seksyen iaitu Seksyen 8 (persimpangan Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (persimpangan Lekir-Changkat Cermin), Seksyen 10 (persimpangan Changkat Cermin-Beruas) dan Seksyen 11 (persimpangan Beruas-Taiping Selatan).

Tiga seksyen di Perak iaitu Seksyen 8, 9 dan 10 sedang di peringkat akhir penyiapan dan dijangka dibuka secara berperingkat hujung Mei ini sementara seksyen lain dibuka apabila siap kelak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kini sedang merangka pertumbuhan-pertumbuhan baru yang boleh membantu menjana ekonomi masyarakat setempat di sepanjang jajaran berkenaan.

“Dari segi pembangunan, kita perlu lihat peluang-peluang yang memberi kesan jangka masa panjang kerana selain peluang pekerjaan, pelaksanaan projek ini juga mampu meningkatkan nilai hartanah dan membawa limpahan pembangunan untuk rakyat di negeri ini,” katanya.