'Pangkat Irwan Serigar ditentukan Majlis Angkatan Tentera'
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata terpulang kepada badan berkenaan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
"Saya tak sedar beliau (Mohd Irwan) diberikan gelaran kehormat ini dan pihak kementerian akan rujuk kepada Majlis Angkatan Tentera untuk membuat keputusan untuk semua gelaran atau pangkat yang diberikan," katanya menjawab soalan tambahan Senator Alan Ling Sie Kiong pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Alan Ling bertanya sama ada kementerian sedar mengenai pangkat kehormat yang dianugerahkan kepada Mohd Irwan yang kini berdepan pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan.
Dilaporkan Mohd Irwan menerima pangkat itu pada 26 Oktober 2016 dalam majlis pemakaian pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah di Wisma Pertahanan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!