KPPK sasar penghasilan susu getah 200,000 tan setahun

Zuraida (tiga dari kiri) melihat Penasihat MHJ Enterprise Zulkifly Abdullah (kanan) membuat demonstrasi penggunaan alat untuk mendapatkan kandungan getah kering sempena Majlis Pelancaran Pengeluaran Lateks di Bukit Bunga pada Sabtu. - Foto Bernama
Zuraida (tiga dari kiri) melihat Penasihat MHJ Enterprise Zulkifly Abdullah (kanan) membuat demonstrasi penggunaan alat untuk mendapatkan kandungan getah kering sempena Majlis Pelancaran Pengeluaran Lateks di Bukit Bunga pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasar penghasilan lateks atau susu getah mencecah 200,000 tan setahun dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi Program Koridor Lateks Pantai Timur.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, negara sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya 400,000 tan susu getah setahun namun setakat ini kita hanya mampu menghasilkan kurang daripada 10 peratus daripada permintaan getah iaitu sekitar 32,000 tan setahun.

"Program Koridor Lateks Pantai Timur membabitkan seramai 200,000 pekebun getah di Kelantan, Terengganu dan Pahang dan kita mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada permintaan susu getah iaitu sebanyak 200,000 tan setahun dapat dihasilkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian bagi mencapai sasaran berkenaan adalah dengan memperkenalkan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) untuk menggalakkan sekali gus memberi sokongan kepada pekebun getah meningkatkan penghasilan susu getah yang diusahakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran Insentif Pengeluaran Latex (IPL) di MHJ Enterprise, Bukit Bunga, di sini, pada Sabtu yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha KPPK (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Abdul Hadi Omar dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, menerusi IPL kerajaan memperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk meningkatkan pengeluaran susu getah negara sekali gus meningkatkan pendapatan pengusaha melalui penghasilan getah.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pekebun kecil getah menambah pendapatan dengan memberi galakan kepada mereka untuk beralih kepada menghasilkan susu getah berbanding getah sekerap.

"Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off) selain peserta juga akan menerima insentif tunai sebanyak RM1 bagi sekilogram 100 peratus kandungan getah kering (KGK).

Artikel Berkaitan:

"Peralatan mengukur KGK iaitu mesin teknologi RRIMETER bernilai RM140,000 akan diberikan secara pinjaman melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) kepada koperasi atau pelesen runcit getah yang menyertai program IPL ini,” katanya.