Tembak haiwan liar langkah terakhir Perhilitan

Abdul Kadir (tengah) bersama Razarudin (kiri) dan Abdullah (kanan) menunjukkan jerat haiwan liar yang berjaya dirampas pada sidang akhbar sempena OBK di Desaru pada Sabtu.
Abdul Kadir (tengah) bersama Razarudin (kiri) dan Abdullah (kanan) menunjukkan jerat haiwan liar yang berjaya dirampas pada sidang akhbar sempena OBK di Desaru pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGG - Tindakan menembak haiwan liar menggunakan peluru hidup dan pelali merupakan tindakan terakhir dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas mengambil kira aspek keselamatan dan ancaman terhadap manusia.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, meskipun dibekalkan dengan peluru hidup dan pelali, namun keutamaan tetap diberikan terhadap perangkap untuk menangkap haiwan liar bagi tujuan pemindahan dan pemuliharaan.

Menurutnya, peluru hidup dan pelali yang dibekalkan hanya akan digunakan sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan anggota kerana kedua-dua peluru tersebut mampu menyebabkan kematian ke atas haiwan liar terbabit.

"Untuk pengetahuan, kalau ditembak dengan pelali ia turut mendedahkan risiko kepada kematian. Haiwan liar yang ditembak pelali tidak terus mati sebaliknya mengambil masa mungkin 10 minit sebelum tumbang.

"Dalam tempoh 10 minit itu, mungkin haiwan liar yang ditembak dengan pelali itu akan lari sejauh 300 hingga 400 meter dan akan jatuh ke dalam sungai atau lereng bukit yang boleh menyebabkan kematian.

"Tembak mati adalah langkah terakhir, yang mana ia dibenarkan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya pada sidang akhbar di Desaru di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husin dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdullah Jaafar.

Pada 7 Januari lalu media melaporkan Jabatan Perhilitan Kelantan menembak mati seekor harimau belang yang menyerang dan membaham seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai, yang mana tembakan terpaksa dilepaskan berikutan harimau berkenaan dilihat cuba menyerang anggota Perhilitan ketika proses tangkapan sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, seramai 19 orang pesalah ditahan dengan nilai sitaan sebanyak RM54,000 hasil daripada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di seluruh negara bermula awal tahun ini.

"Sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka dan 19 jerat hidupan liar telah dimusnahkan di lapangan sepanjang tempoh berkenaan.

"Selain itu menerusi OBK juga, sebanyak 14 kesan khemah warga asing dikesan di kawasan hutan simpan dan taman negara, empat kesan takikan dan tebangan pokok karas serta 158 lain- lain kesan pemburuan serta pencerobohan berjaya direkodkan," katanya.

Beliau berkata, Perhilitan memandang serius usaha memerangi ancaman pemburuan hidupan liar terutama memasang dan menggunakan jerat.

“Jerat yang diperbuat daripada dawai atau kabel mampu beri ancaman utama, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kepupusan hidupan liar seperti harimau, tapir, beruang, gajah, rusa, kijang, kambing gurun dan lain spesis,” katanya.