Lelaki menyamar polis, curi motosikal diberkas

Video tular memaparkan dua individu disyaki mencuri sebuah motosikal di sebuah pangsapuri di Damansara Damai pada Rabu.
Video tular memaparkan dua individu disyaki mencuri sebuah motosikal di sebuah pangsapuri di Damansara Damai pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis sebelum mencuri sebuah motosikal di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di Mutiara Damansara pada jam 11.50 malam.

"Hasil soal siasat, suspek mendakwa telah mengangkut motosikal tersebut dengan seorang lelaki iaitu kawan kepada individu dikenali sebagai ‘Mamat Mulong’ menggunakan sebuah lori yang dipandunya.

"Suspek mendedahkan ‘Mamat Mulong’ menawarkan kerja sambilan untuk mengambil sebuah motosikal dengan bayaran upah RM100," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya telah merampas sebuah lori, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang sepana berbentuk ‘t’ yang telah diubah suai di Kampung Tengah Puchong.

"Kita turut menemui sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dalam keadaan tidak sempurna yang dilaporkan hilang," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A/170 Kanun Keseksaan.

"Kita turut mengesan dua individu termasuk ‘Mamat Mulong’ bagi membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Muhamad Azizi Bajan di talian 010-5882574," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, video tular berdurasi 39 saat memaparkan dua lelaki yang didakwa menyamar sebagai anggota polis mengangkut sebuah motosikal Yamaha RXZ warna biru ke dalam sebuah lori.

Mangsa yang juga seorang penghantar makanan berusia 30 tahun menyedari motosikalnya hilang pada jam 5.20 petang Rabu.

Pengawal keselamatan pangsapuri itu memaklumkan suspek mendakwa sebagai anggota polis serta mendaftar nama dan nombor kad pengenalan di pondok pengawal.