Aeril Zafrel suami yang penyabar: Wawa Zainal

 Aeril Zafrel dan Wawa Zainal
Aeril Zafrel dan Wawa Zainal
A
A
A

MENDIRIKAN rumah tangga sememangnya dituntut dalam Islam dan kebanyakan pasangan hari ini memilih untuk bersatu pada usia muda.

Namun tanggungjawab sebagai suami atau isteri, tidak boleh dipandang enteng kerana kedua-duanya memainkan peranan yang besar dalam sebuah perkahwinan.

Bagi pasangan romantis, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang turut memilih menamatkan zaman bujang pada usia muda, kematangan dan kepercayaan menjadi antara dua perkara penting yang dipegang sejak awal perkahwinan.

Menurut Wawa, 28, ketika awal perkahwinan, dia mungkin sama seperti kebanyakan perempuan muda lain yang suka membesar-besarkan hal kecil dan mencari punca untuk bergaduh.

Namun kesabaran Aeril telah mengubahnya sedikit demi sedikit dan Wawa berpendapat, kematangan seseorang itu memainkan peranan dalam perkahwinan.

"Ketika awal perkahwinan, saya selalu besarkan hal yang remeh temeh dan kadang kala mencari punca untuk bergaduh.

Alhamdulillah nasib saya baik dapat suami yang penyabar.

"Lama-kelamaan saya belajar untuk saling menjaga hati pasangan. Bila sama-sama happy, Insya-ALLAH, rezeki pun akan senang masuk, lancar sahaja," ujarnya ketika ditemui di Kempen Pemeriksaan Kesihatan Gusi 1 Juta Gumbatte 2019 anjuran Systema.

Artikel Berkaitan:

Dalam kempen itu, Aeril dan Wawa telah dilantik sebagai duta kempen kesihatan gusi Systema Gumbatte yang berlangsung di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2012, ketika masing-masing berusia 22 tahun dan 24 tahun.

 Aeril Zafrel dan Wawa Zainal
Aeril Zafrel dan Wawa Zainal

Bagi Aeril pula, kepercayaan dalam sesebuah perkahwinan juga memainkan peranan penting dan setiap pasangan perlu mengelakkan wujud rasa syak wasangka.

"Bagi saya kepercayaan penting dalam sesebuah perkahwinan. Jangan timbul rasa syak wasangka, contohnya tak beritahu pasangan password telefon bimbit dan sebagainya.

"Macam saya, apa sahaja yang berlaku saya akan cerita dengan Wawa. Malah saya juga beri kepercayaan pada Wawa untuk menguruskan kewangan saya," jelasnya.

Tambah selebriti berusia 31 tahun ini, sepanjang tujuh tahun perkahwinan mereka tidak pernah terlibat dengan pergaduhan besar dan meletakkan kepercayaan antara satu sama lain.

Malah secara peribadi Aeril juga tidak bersetuju dengan cara berkongsi masalah rumah tangga menerusi media sosial.

"Sepanjang berkahwin, bohonglah kalau tak ada pergaduhan, tetapi tidaklah sampai bergaduh besar. Tapi ada kalanya kami akan pujuk atau berbaik sendiri.

"Selain itu, kami juga tidak mudah berkongsi masalah rumah tangga di media sosial dan secara peribadi saya serta Wawa rasa media sosial bukan medium untuk menceritakan masalah rumah tangga.

"Tapi dalam masa yang sama, saya sedar ia ruang dan hak peribadi masing-masing," jelasnya.

Aeril dan Wawa sudah dikurniakan sepasang cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4.

Diusik mengenai soal menambah anak, Aeril berkata, mereka berdua sememangnya mahu menambah ahli keluarga, namun rezeki belum tiba.

Berkongsi perkembangan terbaharu keduanya, Aeril berkata, buat masa ini, hanya dia seorang yang aktif berlakon, manakala Wawa lebih senang memberi fokus terhadap perniagaan mereka.

Jelas Aeril, drama lakonannya, Cinta Tanpa Henti masih ditayangkan di slot Samarinda TV3. Dalam masa yang sama, mereka juga dalam perancangan untuk memasarkan madu dari negara Turki.

"Kita sedar khasiat madu dan apa yang boleh saya katakan, madu dari Turki ini mempunyai khasiat yang banyak dan setakat ini ramai yang memesan madu tersebut dari saya, biarpun belum lagi memulakan pasaran di sini.

"Jadi selain berlakon, saya dan Wawa juga sibuk menguruskan perniagaan berasaskan baju, produk penjagaan wajah dan beberapa lagi.

"Kalau kedua-duanya berlakon, Wawa bimbang tidak dapat membahagikan masa sebaiknya kerana sibuk dengan keluarga dan perniagaan juga," ujarnya.