UMNO belum bincang tarikh PRU15: PM

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan UMNO belum membincangkan tarikh bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan.

Naib Presiden UMNO itu juga menjelaskan beliau secara peribadi belum menerima apa-apa usul mengenai pembubaran Parlimen.

Malah katanya, penetapan tarikh untuk membubarkan Parlimen perlu dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu.

“Kita (UMNO) sudah kata, ini semua (pembubaran Parlimen) perlu diibincangkan Yang di-Pertuan Agong (tetapi apabila) kita (UMNO) tetapkan tarikh kita sendiri, nanti Yang di-Pertuan Agong kata kita ambil alih kuasa Seri Paduka Baginda.

“Jadi, jangan kita ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tunggu (dan) apa-apa pun kita akan bincang tapi saya sudah kata, mula-mula kita bincang dalam parti dulu.

“Parti pun tidak bincang lagi (jadi) tunggu. Kita ada mesyuarat parti dan selepas itu barulah kita ada perbincangan dan sebagainya,” katanya di Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur WTC KL di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah UMNO sudah mempunyai tarikh untuk mengadakan PRU15 susulan kepimpinan dan akar umbi parti itu mendesak supaya pilihan raya segera diadakan.

Dalam pada itu, ditanya adakah beliau secara peribadi menerima usul PRU15 perlu segerakan, Ahli Parlimen Bera itu menjelaskan perkara itu belum diterimanya.

Artikel Berkaitan:

“Belum lagi (tapi) hari ini saya tidak tahulah. Hari ini pun persidangan sayap-sayap,” ujarnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbarnya tengah hari tadi menegaskan UMNO menganggap kini adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU15 sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih parti yang mentadbir negara.

Gesaan itu juga katanya, selaras dengan kehendak akar umbi parti yang mahukan pilihan raya segera dilakukan bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil pada masa akan datang.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menjelaskan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong tetap perlu dihormati dalam isu pembubaran Parlimen.