JAWI anjur World Convention Al-Kahfi

A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bakal menganjurkan program kemuncak #QuranHour iaitu World Convention Al-Kahfi sempena Majlis Tilawah A-Quran & Hafazan 2019 Peringkat Antarabangsa di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam di sini pada 17 April ini.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, program berinteraksi dengan al-Quran itu sebagai satu paradigma dalam menghayati al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Mengambil contoh Surah Al-Kahfi, katanya, ia boleh menjadi pencetus kepada kita untuk berjaya di dunia dan akhirat.

“Kami menyasarkan 1,200 hadirin dengan kerjasama rakan strategik termasuk Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang sentiasa berusaha mendekatkan kita dengan al-Quran,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Rumah Ngaji @ Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling, di sini, baru-baru ini.

Mohd Ajib (depan, enam, kanan) bersama tetamu dan kariah Masjid Al-Khasyi’in memberi sokongan World #QuranHour.
Mohd Ajib (depan, enam, kanan) bersama tetamu dan kariah Masjid Al-Khasyi’in memberi sokongan World #QuranHour.

Sempena masjlis perasmian itu, pihak masjid turut menganjurkan Desa Petaling #QuranHour.

Mohd Ajib berkata, JAWI menyokong penuh program #QuranHour dan pihaknya akan menguar-uarkannya kepada semua ketua zon dan ketua imam masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk menjayakan aktiviti mendekatkan kita dengan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

“Kita berharap umat Islam lebih berjaya dengan menjadikan institusi masjid lebih responsif, proaktif dan kreatif. Masjid-masjid juga disarankan sentiasa mengadakan program yang sesuai, mewujudkan persekitaran yang baik dan pengurusan berkesan. Apa yang lebih penting adalah masjid dikunjungi jemaah.

“Masjid perlu sentiasa responsif dalam memahami keadaan sekeliling dan kehendak anak muda dan kariah termasuk orang yang bukan Islam. Kita tidak mahu tragedi masjid berdarah di Christchurch, New Zealand berlaku di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Khasyi’in, Mustafa Abdullah berkata, pembukaan Rumah Ngaji @ Masjid Al-Khasyi’in dan Desa Petaling #QuranHour bertujuan mengajak masyarakat untuk mencintai al-Quran.

“Pihak masjid turut melantik seorang ahli jawatankuasa bukan beragama Islam, Lee Peng Wai sebagai penghubung dengan masyarakat bukan Islam di kawasan tersebut agar tidak terasing dengan aktiviti masjid," katanya.

Seramai tujuh peserta memperdengarkan bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah dan Surah Al-Kahfi.

Sesi tadabbur Surah Al-Kahfi ayat 1 hingga 14 disampaikan oleh Pengurus Latihan Akademi Sinergi Sdn Bhd, Mohd Harfiz Hamzah.