Wanita didakwa perdaya tawar gelaran ‘Datuk Seri’

Li Shi (dua dari kiri) dan Kah Fook (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan kes memperdaya seorang ahli perniagaan berhubung tawaran gelaran ‘Datuk Seri' dan menyembunyikan wang, baru-baru ini.
Li Shi (dua dari kiri) dan Kah Fook (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan kes memperdaya seorang ahli perniagaan berhubung tawaran gelaran ‘Datuk Seri' dan menyembunyikan wang, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang juga penganggur mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memperdaya seorang ahli perniagaan untuk menyerahkan RM94,850 berhubung tawaran gelaran ‘Datuk Seri’, Disember tahun lalu.

Ong Li Shi, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdayakan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 33 tahun, untuk menyerahkan wang berjumlah RM94,850 secara berperingkat ke akaun bank milik tertuduh.

Lelaki itu tidak akan menyerahkan wang berkenaan jika tidak diperdayakan, di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, di sini pada 9 Disember tahun lalu.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret berasingan, rakannya, jurulatih seni mempertahankan, Chin Kah Fook, 33, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menolong menyembunyikan wang RM75,150 kepunyaan mangsa sama.

Dia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Kesalahan didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama pada 14 Januari lalu dan dia boleh dihukum di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal dan Amalina Johar manakala Li Shi diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh.

Mahkamah kemudian membenarkan Li Shi dan Kah Fook diikat jamin masing-masing RM6,000 dan RM1,500 selain menetapkan 26 April serta 1 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan tiga individu termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan tawaran darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri melibatkan kerugian RM294,850.