Usaha pulihkan Masjid al-Noor

Polis dan beberapa pihak cuba pulihkan masjid tersebut kepada keadaan asal.
Polis dan beberapa pihak cuba pulihkan masjid tersebut kepada keadaan asal.
A
A
A

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Polis New Zealand dan beberapa pihak bertungkus lumus menjalankan tugas mereka untuk memulihkan semula keadaan di Masjid al-Noor sebagai persediaan solat Jumaat, seminggu selepas ia menjadi sasaran serangan pengganas yang meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa.

"Kami bekerja keras mengumpulkan semua bukti yang bersesuaian di lokasi kejadian untuk membolehkan jemaah kembali beribadah secepat mungkin," ujar jurucakap polis merujuk kepada masjid kedua di Christchurch yang diserang pengganas warga Australia, Brenton Tarrant.

Sekumpulan tukang kayu, tukang kaca, tukang permaidani dilihat memasuki pekarangan al-Noor pada Khamis.

Difahamkan, mereka cuba untuk mengembalikan masjid tersebut kepada keadaan asal.

Kawasan sekitar al-Noor yang menyaksikan 42 terkorban dalam insiden serangan berdarah itu bagaimanapun masih ditutup dan dikawal pihak berkuasa.

Seorang penduduk Christchurch, Jatinder Saggar turut mengeluarkan jemputan umum mengajak jemaah untuk bersamanya menunaikan solat Jumaat yang mana ia telah meraih lebih 2,600 sokongan di Facebook miliknya.

"Jika masjid itu masih ditutup, kami akan membentuk tembok manusia bertentangan dengan masjid di kawasan padang kriket Hagley Park," ujarnya.

Difahamkan, jika masjid itu masih belum pulih, solat Jumaat dijangka diadakan di sepanjang jalan di Hagley Park.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Perdana Menteri, Jacinda Ardern telah meminta rakyat seluruh negara bertafakur selama dua minit pada Jumaat selain azan bakal berkumandang secara langsung menerusi stesen TV dan radio tempatan sebagai tanda sokongan terhadap komuniti Islam.

Malah, golongan wanita di negara itu juga digalakkan untuk memakai tudung sebagai simbol solidariti dengan orang Islam.

"Kami akan solat Jumaat di sini. Kami tidak akan meninggalkannya untuk memuaskan hati pihak yang menyerang kami," kata Imam Gamal Fouda.

Sementara itu, imam Masjid Linwood yang terletak beberapa kilometer, Alabi Lateef Zirullah berkata, mereka akan solat Jumaat bersama jemaah di al-Noor.

Polis juga akan terus berkawal di kedua-dua masjid terbabit apabila ia dibuka semula untuk menjamin keselamatan awam. - AFP