Polis Tuaran selesai kes curi motosikal kurang daripada 24 jam

Suspek ditahan bersama motosikal yang dipercayai dicuri di sekitar Tuaran.
Suspek ditahan bersama motosikal yang dipercayai dicuri di sekitar Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Polis Tuaran berjaya menyelesaikan kes kecurian motosikal kurang daripada 24 jam selepas kenderaan itu dicuri dalam kejadian di Kampung Tutu, Selupuh di sini pada Selasa.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 petang itu, seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Kota, Jalan Bolong Kota di sini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, tangkapan dibuat susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang mangsa bahawa motosikalnya dilarikan individu tidak dikenali dalam kejadian pada Isnin lalu.

"Mangsa memaklumkan kejadian berlaku pada jam 12.20 tengah malam ketika dia berada di rumahnya apabila terdengar bunyi orang bersin sebelum mendapati kelibat seorang lelaki bertindak membawa lari motosikalnya.

"Mangsa yang melihat kejadian itu melalui tingkap rumahnya bertindak cuba mengejar suspek namun tidak berjaya selain gagal mengecam suspek kerana keadaan yang gelap ketika itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Empat motosikal yang dirampas dipercayai hasil kegiatan jenayah curi di sekitar Tuaran.
Empat motosikal yang dirampas dipercayai hasil kegiatan jenayah curi di sekitar Tuaran.

Menurutnya, bertindak atas maklumat Ops Kesan yang dijalankan polis berjaya mengesan suspek sebelum serbuan dilakukan di sebuah rumah.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat empat buah motosikal di lokasi terbabit dengan nombor pendaftaran salah sebuah motosikal adalah milik pengadu yang hilang dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kemudian ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes curi motosikal di daerah ini dan motosikal berkenaan turut dirampas," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hamizi berkata, modus operandi suspek adalah dengan melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini dan menyimpannya di lokasi tertentu sebelum dileraikan untuk dijual kepada pembeli baru.

"Setakat ini, suspek mengaku bahawa dia hanya mengetahui motosikal yang disimpan di rumahnya adalah kenderaan curi dan suspek bersama seorang lagi rakan sejenayahnya yang masih bebas akan keluar membuat pemerhatian pada waktu malam dengan menaiki motosikal sebelum melakukan kegiatan itu di daerah ini.

"Dengan tertangkapnya suspek, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal di daerah ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan " katanya.