Cub Prix: Afif bermula langkah kanan

Afif (tengah) ketika meraikan kejayaan pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada Ahad.
Afif (tengah) ketika meraikan kejayaan pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada Ahad.
A
A
A

PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran memulakan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 dengan noktah positif apabila berjaya memenangi Pusingan 1 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada Ahad.

Bermula dari petak pertama kategori CP150, Afif tampil dengan persembahan yang begitu mantap sehingga melintasi garisan penamat di tempat pertama dengan catatan masa 14 minit 32.412 saat (s).

“Ini adalah permulaan yang amat baik untuk pasukan saya. Saya amat berterima kasih kepada kru Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing yang telah bekerja keras sejak akhir tahun lalu demi menghasilkan perlumbaan yang baik pada Pusingan1.

“Kami tidak henti-henti membuat R&D (penyelidikan dan pembangunan) terhadap jentera, selalu mengujinya dan apa yang kurang selalu diperbaiki.

"Untuk sasaran itu, saya ingin membantu pasukan untuk meraih gelaran juara pasukan keseluruhan tahun ini,“ katanya.

Kem PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing turut ceria apabila rakan sepasukan Afif, Mohd Izzat Zaidi Salehan yang baru menyertai pasukan itu menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan catatan 14’32.435s.

“Saya bersyukur kerana dapat menaiki podium bersama Afif, rakan pasukan saya pada tahun 2022 ini. Insya-ALLAH, semoga tahun 2022 memihak kepada CKJ Racing Team,“ ujar Izzat.

Dalam perlumbaan yang melibatkan 11 pusingan itu, Mohd Haziq Md Fairues daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor melengkapkan pentas podium dengan menduduki tempat ketiga menerusi catatan 14:32.455s.

Artikel Berkaitan:

Dalam kategori CP125, Mohd Hafiza Rofa dan Mohd Syafiq Rasol menghadiahkan kemenangan 1-2 kepada pasukan ONEXOX TKKR Racing apabila masing-masing mencatat masa 11’20.624s dan 11’20.624s.

Mereka meninggalkan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor Racing, Mohd Syafiq Rosli yang mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 11’20.696s.

Dalam kategori Wira KBS, pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing menyapu bersih ketiga-tiga kedudukan podium menerusi kejayaan Mohd Syamil Amysar Mohd Iffende, Mohd Danish Aiman Zamrul dan Mohd Adam Haikal Jahar.

Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix 2022 akan berehat seketika bagi menghormati bulan Ramadan dan Syawal sebelum Pusingan 2 dijadualkan berlangsung di Litar Lumba Tangkak pada 14 dan 15 Mei depan.