Izam Ikmal mahu cipta kejutan di Sepang

Mohd Izam Ikmal Izamli
Mohd Izam Ikmal Izamli
A
A
A

MOHD Izam Ikmal Izamli yang baru menyertai ONEXOX Racing Team membuat kejutan apabila muncul sebagai pelumba terpantas sesi kelayakan CP150 dalam pusingan pembuka tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Sepang minggu ini.

Izam, yang beraksi dengan jentera Honda selama ini, langsung tidak menghadapi sebarang masalah menyesuaikan rentak tunggangannya bersama jentera Yamaha yang disediakan oleh ONEXOX Racing Team. Izam mencatatkan masa terpantas 1'17.025s setelah mempamerkan strategi yang hebat mengatas pelumba-pelumba lain di saat-saat terakhir.

Izam berkata, “Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada team saya, ONEXOX Racing Team untuk pencapaian di luar jangkaan ini.

Namun, strategi yang telah dibincangkan oleh pasukan sangat berjaya. Seperti yang telah diketahui, kategori CP150 memang sukar dengan cabaran-cabaran untuk berada di hadapan.”

“Cuaca hari ini sememangnya tidak menentu. Namun begitu, saya akan lebih bersedia untuk perlumbaan esok.”

Sementara itu, juara bertahan CP150 Azroy Hakeem Anuar memulakan kempen musim 2022 dengan langkah kanan apabila mencatat masa kedua terpantas sesi kelayakan dengan 1'17.068s.

Catatan masa ketiga terpantas pula dirakam oleh Ahmad Afif Amran dari PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing dengan 1'17.207s.

Dalam kategori CP125 pula, pelumba ONEXOX Racing Team dan ONEXOX TKKR Racing Team melaung amaran awal apabila mendominasi sesi kelayakan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Syafiq Rasol mendahului dengan catatan masa 1’21.948s, disusuli oleh Md Hafiza Rofa dengan catatan masa 1’22.190, serta, Abdullah Qayyum Abd Razak dengan masa 1’22.519.

Kategori Wira KBS, Md Syamil Amysar M Iffende dari PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing pula menyambar masa terpantas dalam sesi kelayakan dengan catatan masa 1’24.437s.

Catatan masa kedua terpantas dirakamkan Amirun Haziq Johan yang berlumba secara persendirian tanpa pasukan dengan catatan masa 1’24.714s diikuti oleh Md Adam Haikal Jahar dari PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di tempat ketiga dengan catatan masa 1’25.409s.