Haziq, damailah kau di sana...

Mohd Haziq (dalam bulatan)
Mohd Haziq (dalam bulatan)
A
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. [DIKEMASKINI] Selepas hampir seminggu mencari, sumber Sinar Harian memaklumkan Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang hilang sejak Jumaat lepas disahkan telah meninggal dunia.

Beliau memberitahu maklumat terkini tersebut menerusi satu panggilan telefon sebentar tadi.

Menurutnya, difahamkan esok Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dijangka terbang ke New Zealand untuk menghadiri majlis pengebumian.

“Dukacita dimaklumkan jenazah Mohd Haziq yang hilang sejak Jumaat lepas telah ditemukan.

“Dia meninggal dunia akibat ditembak dalam insiden di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand,” katanya.

Sebelum ini, difahamkan keluarga Mohd Haziq akan melakukan pengecaman mayat di Hospital Christchurch yang dijadualkan esok.

Maklumat itu dikongsi Rahasnan Abdul Rashid, 57, abang kepada Nazril Hisham Omar, salah seorang mangsa tembakan yang menerima rawatan di hospital sama.

“Saya sempat bertemu dengan keluarga seorang lagi mangsa Mohd Tarmizi Shuib, 42, pagi tadi (waktu tempatan).

Artikel Berkaitan:

“Kemungkinan Tarmizi esok boleh balik tapi anaknya seorang lagi (Mohd Haziq) masih hilang. Keluarganya sepatutnya hari ini pergi buat pengecaman mayat kerana ada satu lagi mayat belum dikenal pasti.

“Sepatutnya hari ini tapi tak jadi lagi, tak tahu sebab apa. Saya tanya mereka dan mereka kata belum buat lagi, mungkin esok (hari ini) buat. Ramai keluarganya datang ke hospital,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Sebelum ini, ibunya, Marina Hamzah,46, telah menyerahkan gambar dan nama anak sulungnya itu kepada polis New Zealand bagi memudahkan usaha mengesan remaja berkenaan dibuat.

Dalam kejadian itu, Mohd Haziq mengikut bapanya, Mohd Tarmizi ke masjid pada hari kejadian sebelum dilaporkan hilang selepas kejadian tembakan berlaku.

Sinar Harian akan cuba mendapatkan maklumat penuh dari semasa ke semasa dan buat masa ini, hanya ini sahaja maklumat diperoleh pihak kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Haziq...di mana kamu?