Pelayaran ihsan bawa bayi sakit ke hospital

Maritim Malaysia Terengganu melakukan pelayaran ihsan membawa seorang bayi berusia 11 bulan dari Pulau Redang untuk dapatkan rawatan segera di HSNZ awal pagi Khamis. - Foto ihsan Maritim Malaysia Terengganu
Maritim Malaysia Terengganu melakukan pelayaran ihsan membawa seorang bayi berusia 11 bulan dari Pulau Redang untuk dapatkan rawatan segera di HSNZ awal pagi Khamis. - Foto ihsan Maritim Malaysia Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu melakukan pelayaran ihsan membawa seorang bayi berusia 11 bulan dari Pulau Redang untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) awal pagi Khamis.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan segera diambil selepas menerima maklumat bahawa pesakit, Muhammad Zaim Aiman mengalami simptom najis berdarah dan perlu mendapatkan rawatan segera di hospital berdekatan.

"Kita menerima panggilan kecemasan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan jam 7 malam meminta khidmat bantuan memindahkan pesakit.

"Berikutan itu, Kapal Maritim (KM) Nusa yang sedang beroperasi di sekitar segera digerakkan Maritim Negeri bagi memastikan pesakit menerima rawatan segera yang lebih baik dan selamat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, misi bantuan evakuasi perubatan (Medevac) selesai sebaik kapal tiba di Jeti Maritim Negeri Terengganu pada jam 3 pagi tadi dan pesakit yang ditemani ibu bapa dari Pulau Redang terus dikejarkan ke hospital.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi turut mengingatkan orang awam supaya melaporkan sebarang kecemasan di laut terutama di Terengganu menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-622 3657.

Artikel Berkaitan: