Jumlah mangsa banjir di Selangor semakin menurun

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Selangor setakat jam 4 petang Rabu menurun kepada 478 individu sahaja.
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Selangor setakat jam 4 petang Rabu menurun kepada 478 individu sahaja.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor pada petang Rabu menurun kepada 478 berbanding 1,020 mangsa pada jam 8 pagi hari yang sama.

Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) melaporkan, jumlah keluarga juga dilaporkan menurun daripada 270 kepada 120 keluarga sahaja setakat jam 4 petang Rabu.

Menurut portal itu, dua daripada sembilan PPS di negeri itu menunjukkan peningkatan iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Warisan.

"Sebanyak 48 mangsa daripada 13 keluarga sudah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang berbanding 25 mangsa daripada tujuh keluarga sebelum ini.

"Seramai 111 mangsa daripada 30 keluarga pula ditempatkan di PPS di SK Kota Warisan," kata portal itu pada Rabu.

Portal itu memberitahu, tiga lagi PPS menunjukkan jumlah mangsa banjir dan keluarga masih kekal iaitu di Dewan MPS Kampung Melayu Seri Kundang, Dewan Orang Ramai Sri Permata dan Kampung Sungai Serai.

"Tiga lagi PPS menunjukkan penurunan jumlah mangsa ialah di Dewan Camelia Putra Heights, Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam dan Masjid Putra Height.

"Sebuah PPS di SK Puchong Indah ditutup pada Rabu," jelas portal itu.

Artikel Berkaitan:

Sembilan PPS yang dibuka itu merangkumi lima daerah di negeri Selangor yang terjejas akibat banjir pada Isnin.

Lima daerah yang terjejas ialah Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.