PBB sahkan tiada kebocoran radiasi nuklear di Ukraine

Letupan dalam sebuah bilik yang menempatkan pusat penyelidikan nuklear di Kharkiv, Ukraine baru-baru ini. Foto: The Independent
Letupan dalam sebuah bilik yang menempatkan pusat penyelidikan nuklear di Kharkiv, Ukraine baru-baru ini. Foto: The Independent
A
A
A

VIENNA - Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Isnin memaklumkan menerima laporan bedilan artileri yang merosakkan sebuah kemudahan penyelidikan nuklear di bandar Kharkiv.

Bagaimanapun, kemudahan yang dikepung di Ukraine itu tidak mempunyai kebocoran radiasi.

Menurut agensi milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpusat di Vienna, pihak berkuasa Ukraine melaporkan serangan tersebut berlaku pada Ahad tetapi menyatakan tiada peningkatan tahap radiasi dilaporkan di lokasi tersebut.

Kemudahan itu merupakan sebahagian daripada Institut Fizik dan Teknologi Kharkiv iaitu sebuah institusi penyelidikan yang menghasilkan bahan radioaktif untuk aplikasi perubatan dan industri.

Kharkiv telah diserang dengan bedilan artileri dan peluru berpandu Rusia ketika Moscow berusaha meningkatkan tekanan ke atas Ukraine untuk mengaku kalah kepada Rusia.

Institut nuklear itu didakwa menjadi teori konspirasi dan dakwaan tidak berasas di media Rusia bahawa Ukraine sedang berusaha menghasilkan 'bom kotor' iaitu salah satu senjata nuklear yang mampu menyebabkan korban yang ramai.

IAEA menyatakan ia hanyalah contoh terbaru sebuah kemudahan nuklear yang terperangkap dalam perang Rusia ke atas Ukraine. - Agensi

Artikel Berkaitan: