Ikon Ratu Kutub Negara bakal sertai misi pelayaran ke Antartika

Muhammad Khairul Akmal (kiri) bersama Sharifah Mazlina ketika sidang akhbar misi pelayaran CF2041 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Muhammad Khairul Akmal (kiri) bersama Sharifah Mazlina ketika sidang akhbar misi pelayaran CF2041 di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ikon Ratu Kutub Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir akan berlepas ke Antartika pada 14 Mac ini bagi menyertai misi pelayaran ‘Climate Force 2041 (CF2041)’ untuk mengkaji kesan pemanasan global di kawasan itu.

Sharifah Mazlina berkata, misi akan mengambil masa selama 12 hari itu akan turut disertai seorang protege lelaki, Muhammad Khairul Akmal Adam yang terpilih menerusi pemilihan khusus misi berkenaan.

Beliau berkata, misi berkonsepkan pengajaran dan pembelajaran itu akan turut disertai 215 peserta daripada 92 buah negara.

“Saya mendapat jemputan daripada tokoh pengembara kutub terkenal, Sir Robert Swan dari Amerika Syarikat ketika misi ke kutub selatan pada 2019. Beliau mempelawa saya menyertai pelayaran ke persisiran pantai benua Antartika untuk melihat kesan pemanasan global yang agresif serta mengkaji impak terhadap kawasan itu.

“Sepanjang misi pelayaran CF2041 ini akan diadakan program kepimpinan berimpak tinggi dan peserta yang menyertai perlu memberikan cara-cara atau penyelesaian untuk mengurangkan pemanasan global,” katanya dalam sidang akhbar misi pelayaran Antartika CF2041 pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, misi pelayaran yang akan bermula pada 17 Mac di Ushuaia, Argentina itu akan bergerak ke pesisiran pantai Antartika untuk menilai kesan perubahan pemanasan dan didokumentari sebagai bahan ilmiah kepada masyarakat.

Sementara itu bercakap mengenai pemilihan protege lelaki dalam misi pelayaran ini, Sharifah Mazlina berkata, All Women Expedition to Antartica (AWETA) sentiasa bersikap terbuka untuk melibatkan belia wanita dan lelaki dalam setiap misi yang dianjurkan.

Justeru katanya, pemilihan Muhammad Khairul Akmal dilihat mampu memberi inspirasi dan dorongan kepada golongan belia terutama lelaki untuk melakukan perkara di luar kebiasaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Muhammad Khairul Akmal, 20, berkata, pemilihannya dalam misi pelayaran CF 2041 merupakan peluang berharga selain dapat merubah dirinya menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Saya bangga kerana terpilih dalam kalangan puluhan belia yang mendaftar dan berharap dapat memberi inspirasi kepada golongan muda di negara ini mengenai kesan pemanasan global yang berlaku di Antartika.

“Saya bersama Dr Sharifah (Mazlina) akan menjadi aktivis pemanasan global di Malaysia dan akan berkongsi pengalaman kami sepanjang misi berkenaan kelak,” katanya.