Penganggur didakwa rogol murid Tahun Lima
KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan merogol seorang murid tahun lima dalam kejadian akhir Februari lalu.
Tertuduh, Muhamad Faez Nazri Zulkifli, 20, didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu kira-kira jam 1 pagi di sebuah rumah di daerah ini pada 28 Februari lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Faez Nazri, didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan kerana merogol seorang kanak-kanak bawah umur.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 4 April depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!