Sampel bangkai kucing dihantar ke makmal untuk analisis: JPV

Anggota Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengambil bangkai kucing terbiar yang mati disyaki akibat diracun di Pantai Bukit Keluang di Besut, Ahad lalu.
Anggota Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengambil bangkai kucing terbiar yang mati disyaki akibat diracun di Pantai Bukit Keluang di Besut, Ahad lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sampel 15 kucing mati di kawasan rekreasi Pantai Bukit Keluang di Besut yang disyaki diracun telah dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Anun Man berkata, keputusan analisis dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.

"Bedah siasat telah dijalankan dan sampel telah dihantar ke makmal untuk tujuan analisis kimia dan diagnostik.

"Biasanya keputusan proses analisis makmal akan diperoleh dalam tempoh dua minggu. Kita cuba bincang sekiranya keputusan dapat dipertimbangkan lebih awal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Dr Anun, pasukan operasi Unit Kebajikan Haiwan dan Penguatkuasa Veterinar Negeri telah digerakkan untuk melakukan siasatan di lapangan sebaik menerima aduan mengenai insiden itu pada Ahad.

Katanya, sebanyak 15 bangkai kucing pelbagai umur, jantina dan warna dikesan berada di lokasi kejadian.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) bagi siasatan dijalankan lebih terperinci berkenaan aduan tersebut.

"Kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 ini boleh dikenakan hukuman maksimum sehingga tiga tahun penjara atau denda maksima sehingga RM100,000," katanya

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan (Khianat ke atas Binatang) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan sekitar jam 10 pagi pada Ahad memaklumkan mengenai kejadian itu.

Penemuan bangkai kucing tular di media sosial sejak Ahad setelah ia ditemui bergelimpangan di kawasan rekreasi berkenaan.