X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Haiqal masih berpeluang

Muhammad Haiqal
A
A

JAGUH pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi masih berpeluang untuk beraksi pada temasya Sukan SEA Hanoi sekiranya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu menghantarnya bertanding dalam acara riben biru di Vietnam atas kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat).

Bagaimanapun, bagi bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad tidak bersetuju sekiranya pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina 2019 itu bertanding dalam acara tersebut sebaliknya lebih suka melihat Muhammad Haiqal menyertai kuartet 4x100m lelaki ataupun campuran.

“Pandangan peribadi saya lebih baik kita senaraikan atlet yang sudah melepasi had kelayakan bertanding supaya nanti kelak tidak akan ada isu yang berbangkit.

“Sebab saya lihat ketika ini, atlet yang sudah layak acara tersebut Arsyad,Russel, dan Zulfiqar ada potensi, jadi saya tidak bersetuju sekiranya Haiqal disenaraikan oleh KOM dalam kategori B.

“Namun saya rasa, Haiqal masih boleh disenaraikan dalam acara lain seperti 4x100m lelaki atau campuran sebab kalau tak silap saya, kebiasaannya KOM akan menyenaraikan enam orang yang mana empat akan lari dan selebihnya akan jadi backup,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada Sabtu, Muhammad Haiqal menerima tamparan hebat apabila gagal melepasi had kelayakan untuk ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam biarpun menjuarai acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-97 di Stadium Mini Majlis Sukan Malaysia, Bukit Jalil.

Catatan 10.58 saat (s) yang dilakukan atlet kelahiran Negeri Sembilan itu di atas permukaan trek basah akibat cuaca hujan gagal melepasi had kelayakan untuk ke temasya di Vietnam iaitu 10.52s.

Mengulas lanjut mengenai prestasi terkini Muhammad Haiqal, bekas raja pecut Asia Tenggara tersebut berpandangan, jaguh lari pecut itu masih berada di tahap terbaik jika diambil kira faktor tiada kejohanan kompetitif selama dua tahun akibat penularan Covid-19.

“Saya lihat dia (Haiqal) tidak mempunyai masalah dalam lariannya. Saya percaya dia masih dalam keadaan yang baik.

“Cuma mungkin faktor keadaan cuaca semalam yang menyebabkan trek licin menyukarkan dia untuk mencatatkan masa yang terbaik. Apa-apa pun, rekod 10.58 itu masih boleh dianggap membanggakan kalau ambil kira faktor tiada kejohanan kompetitif dan kecederaan yang dialaminya sebelum ini,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!