Projek MRT3 pemangkin sosioekonomi negara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan projek Laluan Lingkaran Aliran Transit Massa 3 (MRT3) akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi negara serta meningkatkan daya saing negara di rantau ini dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, sebagai pemaju projek dan pemilik aset projek MRT 3 Laluan Lingkaran, pihaknya akan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan termasuk kontraktor-kontraktor bumiputera bagi mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

"Ini akan dicapai melalui penekanan lebih besar terhadap teknologi sistem rel tempatan, sistem binaan berindustri dan pemodelan maklumat bangunan serta peningkatan kepakaran dan kemahiran melalui pelbagai program seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat

Mohd Zarif turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada MRT Corp untuk menerajui projek berimpak tinggi itu.

Sebelum itu, perdana menteri mengumumkan kabinet pada Jumaat bersetuju melaksanakan projek MRT3 bertujuan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

Laluan Lingkaran MRT3 dijangka sekitar 50 kilometer dan merupakan jajaran lingkaran sepanjang perimeter bandaraya Kuala Lumpur terdiri daripada bahagian bertingkat dan bawah tanah serta mempunyai 31 stesen.

Projek itu merupakan sebahagian daripada kesalinghubungan bagi Rangkaian Transit Bersepadu Lembah Klang di bawah Dasar Pengangkutan Negara dan komponen kritikal mobiliti pelbagai mod untuk masa hadapan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.- Bernama

Artikel Berkaitan: