Petronas bantu 1,500 mangsa banjir Kelantan, Terengganu

Penerima sumbangan juga akan menerima Mesra Gift Card untuk membeli barangan keperluan di stesen minyak Petronas.
Penerima sumbangan juga akan menerima Mesra Gift Card untuk membeli barangan keperluan di stesen minyak Petronas.
A
A
A

TANAH MERAH - Sebanyak 1,500 keluarga yang terjejas banjir di lapan daerah di Terengganu dan Kelantan menerima sumbangan daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi Misi Bantuan Mangsa Banjir yang bermula di Kemaman, pada Rabu.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan bernilai RM400,000 itu merupakan sebahagian daripada komitmen yang diumumkan Petronas Disember lalu melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM25 juta.

"Antara barangan yang disumbangkan adalah keperluan asas, kit pembersihan diri dan bekalan bahan api kepada agensi penyelamat untuk tujuan menjalankan operasi menyelamat.

“Petronas sentiasa prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir. Kami berharap agar sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, Petronas juga merakamkan penghargaan kepada pihak keselamatan yang tidak pernah jemu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk menyelamat mangsa banjir sejak bencana berkenaan mula melanda minggu lalu.

Beliau berkata, sumbangan kepada 1,500 keluarga mangsa banjir itu disampaikan melalui pejabat daerah iaitu di Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Kuala Nerus, Jeli, Pasir Mas dan Tanah Merah.

"Setiap keluarga terpilih akan menerima bekalan makanan asas, kit penjagaan kebersihan diri serta Mesra Gift Card untuk pembelian keperluan di stesen minyak Petronas.

"Sebagai usaha membantu operasi menyelamat yang dilakukan oleh pihak berkuasa, Petronas melalui Petronas Dagangan Bhd (PDB) juga turut menyediakan perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih melalui kenderaan minyak bergerak (ROVR) yang ditempatkan di lokasi operasi menyelamat," katanya.

Artikel Berkaitan: