19,000 jemaah terlibat dengan penangguhan umrah: Nancy

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penangguhan sementara perjalanan umrah akibat penularan Omicron pada Januari lepas melibatkan kira-kira 19,000 bakal jemaah, namun impak mereka yang menanggung kerugian adalah minimum.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bilangan bakal jemaah yang terpaksa menanggung kerugian adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah jemaah yang terlibat.

"Mereka yang menanggung kerugian ialah kerana tidak boleh mendapatkan bayaran balik (refund) bagi sesetengah pembayaran yang telah dibuat, manakala bagi kebanyakan yang terlibat mereka mempunyai cukup ruang untuk membuat perubahan sewajarnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang mahu tahu mengenai bentuk kerugian yang ditanggung oleh agensi pelancongan umrah apabila perjalanan umrah ditangguh sementara akibat penularan varian Omicron Covid-19.

Kerajaan pada 1 Januari lepas mengumumkan keputusan untuk menggantung sementara perjalanan umrah untuk rakyat Malaysia selama sebulan bermula 8 Januari.

Susulan itu kerajaan memutuskan untuk membayar sagu hati RM1,671 kepada setiap jemaah yang terjejas dengan bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun simpanan TH penerima.

Nancy berkata, bagi pembayaran sagu hati kepada jemaah terlibat, kementerian menerima kira-kira 8,500 permohonan dan bayaran dibuat mengikut kelayakan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

"Antara kriteria yang ditetapkan untuk layak mendapat sagu hati ialah mereka menggunakan syarikat pengendali perjalanan yang berdaftar dengan kementerian, tarikh perjalanan 8 Januari sehingga 7 Februari dan telah mempunyai visa perjalanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nancy berkata, standard operasi prosedur (SOP) yang digariskan tidak pernah bertujuan untuk membebankan mana-mana pihak, tetapi demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Justeru katanya dakwaan mengenai SOP umrah yang kerap berubah dan menyusahkan umat Islam, beliau berkata perkara itu, tidak tepat sama sekali. - Bernama