Jujurlah pada diri agar tidak jadi penyebar Covid

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

BERMULA Selasa, individu berusia 18 tahun ke atas tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya dikesan menjadi kontak rapat tetapi sudah menerima dos penggalak dan tidak bergejala.

Bagaimanapun, mereka perlu menjalani ujian kendiri (RTK) pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir mereka terdedah dengan kes positif berkenaan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sekiranya ujian dijalankan itu negatif, individu berkenaan boleh melakukan urusan seperti biasa. Mereka yang positif pula perlu melaporkannya dalam MySejahtera serta menjalani tempoh isolasi.

Bagi individu yang lengkap dos vaksin dan belum menerima dos penggalak pula, mereka kekal perlu menjalani kuarantin dalam tempoh lima hari. Mereka juga perlu melakukan ujian bergejala dalam tempoh lima hari dari tarikh akhir pendedahan kes positif Covid-19. Sekiranya positif, perlu melaporkannya melalui MySejahtera.

Bagi penulis, keputusan ini mungkin melegakan orang ramai. Sebelum ini, kontak rapat wajib menjalani kuarantin dan dipakaikan gelang bagi mengelakkan mereka keluar rumah sesuka hati.

Namun dengan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu ini, mereka bukan sahaja boleh bekerja seperti biasa, malah menghadiri majlis sosial walaupun ahli keluarga mereka yang dijangkiti Covid-19 sedang menjalani kuarantin di dalam rumah yang sama.

Jadi, jangan gusar sekiranya ada teman sekerja yang dikesan menjadi kontak rapat Covid-19 datang bertugas di pejabat dan duduk bergaul seperti biasa.

Ia bukan lagi satu kesalahan selepas kerajaan memutuskan SOP baharu tersebut. Kecuali jika ada kalangan majikan menetapkan syarat melarang individu berkenaan hadir bekerja dalam tempoh beberapa hari.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan jika ramai pekerja menjadi kontak rapat dan dijangkiti Covid-19 tidak dapat bekerja atau terpaksa bekerja dari rumah, sudah tentu operasi syarikat akan terjejas.

Cuma, persoalannya adakah kita semua sudah bersedia untuk menerima SOP ini sebagai satu lagi norma baharu yang perlu diikuti? Bersedia atau tidak, kita perlu meneruskan kehidupan bersama Covid-19, lebih-lebih lagi ketika ini kes sudah meningkat semula.

Justeru kejujuran dalam mengisytiharkan status kontak rapat amat penting kerana sesiapa sahaja boleh memberi maklumat tidak benar dalam MySejahtera, malah perkara ini sukar dipantau pihak berkuasa.

Sebelum ini, semua pesakit Covid-19 perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk penilaian tahap kesihatan, tapi sekarang tidak lagi. Mereka boleh mengisi butiran penilaian itu di mana-mana sahaja melalui MySejahtera.

Walaupun mudah, namun jadilah individu yang bertanggungjawab dan jujur pada diri sendiri. Jika anda menjadi kontak rapat kes Covid-19 yang bergejala, wajib menjalani kuarantin sekurang-kurangnya lima hari. Jangan mendekati orang-orang lain sehingga benar-benar bebas daripada jangkitan.

Usahlah menipu dengan mengisi maklumat palsu di MySejahtera terutama mereka yang berniaga atau bekerja sendiri semata-mata alasan poket kosong sekiranya kedai ditutup atau tidak bekerja.

Bagi yang makan gaji pula, jangan pula menggunakan alasan menjadi kontak rapat, sedangkan ia tidak berlaku semata-mata kerana malas hendak ke pejabat.

Harus diingatkan, ketika ini, kes jangkitan Covid-19 masih tinggi. Tidak hairan jika setiap hari ada sahaja ahli keluarga, rakan-rakan serta jiran-jiran yang dijangkiti.

Namun, keberkesanan dos vaksin penggalak dilihat mampu mengurangkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia yang dicetuskan gelombang varian Omicron.

Hanya ALLAH SWT yang maha berkuasa menyembuhkan setiap penyakit yang ada di dunia ini, namun manusia juga perlu berikhtiar mencegah serta merawatnya. Vaksin merupakan salah satu ikhtiar dalam mencegah diri daripada dijangkiti.

Justeru, penulis menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak menangguhkan pengambilan dos penggalak dan suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak seperti yang disarankan kerajaan bagi mengurangkan kesan buruk akibat jangkitan virus Covid-19.

*Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Harian