4,807 premis dikesan beroperasi tanpa lesen

Pasukan khas MPHS melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Hulu Selangor baru-baru ini.
Pasukan khas MPHS melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Hulu Selangor baru-baru ini.
A
A
A
HULU SELANGOR - Sebanyak 4,807 premis dikesan beroperasi tanpa lesen perniagaan melibatkan 2,548 premis di Bukit Beruntung, manakala 2,259 lagi di Bukit Sentosa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Mohd Hasry Nor Mohd berkata, pihaknya bertindak menubuhkan pasukan khas bagi memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik premis perniagaan yang melakukan kesalahan di dua kawasan terlibat.

Menurutnya, pasukan tersebut diberi tugasan untuk mengemas kini dan mengenal pasti status premis di kawasan ditetapkan selain tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya pemilik premis didapati melakukan kesalahan seperti tiada lesen perniagaan, lesen iklan dan menggajikan pekerja warga asing.

"Kesalahan lain antaranya permit meletak barang di kaki lima, membuat perubahan bangunan tanpa permit dan aktiviti penternakan burung walit tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, fasa pertama pelaksanaan itu telah pun bermula pada 22 Februari lalu di kawasan Bukit Sentosa antaranya di Jalan Telipot, Jalan Seroja, Seri Pagi, Kamunting, Persiaran Bunga Raya dan Jalan Ros.
Artikel Berkaitan:


Jelasnya, pasukan khas terdiri daripada lima jabatan dalaman iaitu Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Bangunan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta serta Jabatan Pelesenan akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di Bukit Beruntung selepas pelaksanaan tugasan di kawasan Bukit Sentosa selesai.