Arsenal dilapor rugi RM603.76 juta

Arsenal rugi besar akibat pandemik Covid-19. - Foto goal.com
Arsenal rugi besar akibat pandemik Covid-19. - Foto goal.com
A
A
A

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM603.76 juta tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Jumlah kerugian itu didedahkan kelab berkenaan ketika membentangkan penyata akaun terkini bagi tahun berakhir Mei 2021 pada Isnin.

Hasil pembentangan tersebut mendapati kelab berkenaan menanggung kerugian berganda berbanding jumlah kerugian RM268.96 juta pada tahun 2020.

“Kita percaya ia adalah susulan daripada impak besar pandemik Covid-19 yang mana menyaksikan kebanyakan perlawanan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

“Kesemua perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran penonton itu telah merekodkan kerugian berjumlah RM478.27 juta,” menurut satu kenyataan daripada kelab berkenaan.

Untuk rekod, hanya dua daripada 31 perlawanan di Emirates yang dihadiri penonton, menyebabkan hasil yang dijana merudum daripada RM422.03 juta kepada RM21.38 juta.

Bagaimanapun, hasil berjumlah RM1,037.67 juta berjaya dijana menerusi penyiaran secara langsung melibatkan perlawanan-perlawanan penutup bagi musim 2019/2020 selain kemaraan kelab ke peringkat separuh akhir saingan Liga Europa.

“Menerusi kaedah ini, kelab menjana keuntungan RM66.39 juta daripada hasil ‘jualan pemain.’

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, ia didapati meleset daripada keuntungan berjumlah RM338.16 juta tahun sebelumnya yang melibatkan RM1,372,97 juta dari segi pembayaran gaji.

“Secara keseluruhannya, cabaran kewangan kelab ini terus signifikan tetapi dalam masa sama kelab terus mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada Kroenke Sports & Entertainment,” katanya.

Arsenal kini berada pada kedudukan terbaik bagi menamatkan saingan EPL musim ini pada kedudukan empat pasukan teratas, sekali gus kembali ke saingan Liga Juara-Juara.

Kelab itu kini hanya dua mata di belakang Manchester United yang berada pada kedudukan keempat, namun masih memiliki kelebihan tiga perlawanan.