Mara hantar 99 pelajar ke universiti terbaik di Jerman

Mahdzir (kanan) beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Bual Mesra dan Pra Pelepasan Pelajar Mara ke Jerman di Kampus German-Malaysian Institute (GMI) di sini pada Isnin.
Mahdzir (kanan) beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Bual Mesra dan Pra Pelepasan Pelajar Mara ke Jerman di Kampus German-Malaysian Institute (GMI) di sini pada Isnin.
A
A
A

BANGI - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menghantar 99 pelajar tajaannya melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka di Jerman dalam bidang kejuruteraan di bawah program Young Talent Development Programme (YTP) bermula Mac ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kumpulan pelajar yang dihantar ke Jerman itu berjaya melengkapkan pengajian A-Level di Kampus German-Malaysian Institute (GMI) selama setahun sembilan bulan dan memperolehi keputusan cemerlang dalam Cambridge International Examination (CIE).

Menurutnya, bermula Mac ini, pelajar terbabit akan menjalani kursus khas di pusat bahasa di Jerman selama 6 bulan.

"Mereka kemudiannya akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa universiti terkemuka di Jerman selama empat tahun dalam bidang kejuruteraan.

“Meskipun dengan pelbagai kekangan dan cabaran, inilah detik yang cukup bersejarah sekaligus membuktikan sistem pendidikan Mara bertaraf dunia," katanya pada sidang media selepas Majlis Bual Mesra dan Pra Pelepasan Pelajar Mara ke Jerman di Kampus German-Malaysian Institute (GMI) di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Ahli Majlis Mara, Datuk Rosni Sohar.

Mengenai program YTP pula, jelas Mahdzir, seramai 987 pelajar bagi kemasukan tahun 2020 dan 1,401 pelajar bagi kemasukan 2021 sedang membuat persediaan untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di seluruh dunia.

Ia termasuk universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Ireland, Jerman, Perancis, Jepun, Rusia, Korea Selatan, Australia, Jordan dan Mesir bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Artikel Berkaitan:

"Mara juga akan membiayai 60,000 pelajarnya di bawah skim pinjaman boleh ubah di dalam dan luar negara tahun ini.

"Mara menawarkan program bantuan pinjaman pelajaran dari pelbagai peringkat pengajian dan bidang kepada kumpulan sasar melalui program World’s Top Universities Programme (WTU).

"Selain itu, ia juga merangkumi beberapa program lain seperti Graduate Excellence Programme (GREP), Program Pembangunan Profesional (Pro-P), IPMA Excellent Students Programme (IESP) dan Mara Education Sponsorship Hybrid (MESH) serta Young Talent Development Programme (YTP)," ujar beliau.