Dakwaan wujud kartel dalam PDRM tidak benar

EAIC pertikai Abdul Hamid, anggap dakwaan sebagai cetek dan tidak betul

Abdul Hamid ketika mendedahkan isu kartel dalam PDRM yang cuba menjatuhkan beliau ketika menjadi Ketua Polis Negara tahun lalu.
Abdul Hamid ketika mendedahkan isu kartel dalam PDRM yang cuba menjatuhkan beliau ketika menjadi Ketua Polis Negara tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM- Dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa terdapat kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah tidak benar.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memberitahu kenyataan Hamid bersifat cetek dan tidak betul.

“Barisan Pesuruhjaya EAIC sebulat suara mendapati Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel ini kerana dalam rakaman percakapan dengan EAIC, beliau gagal mengemukakan sebarang bukti bagi mengukuhkan dakwaan itu,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi, Tan Sri Zainun Ali; Pesuruhjaya EAIC, Tan Sri Mahmood Adam; Pesuruhjaya, Tan Sri Aziah Ali; Pesuruhjaya, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin; Pesuruhjaya, Datuk John Louis O’hara dan Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahod.

Abdul Hamid ketika mendedahkan isu berkenaan dalam program bual bicara dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar di Kumpulan Karangkraf pada Mac tahun lalu mendedahkan wujud gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.

Abdul Hamid mendakwa gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, selain tidak memberi bukti tepat, Abdul Hamid juga gagal menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini.

“Malah ketika menjadi Ketua Polis Negara (KPN), beliau sendiri tidak pernah membangkitkan mengenai isu ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan pengarah-pengarah jabatan dalam PDRM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut memaklumkan selepas isu berkenaan diteliti, Abdul Hamid selaku KPN pada masa itu tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya.

“Beliau sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media.

“Malah perkara ini juga tidak pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai KPN tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut.

Selain itu, EAIC menegaskan bahawa bekas KPN itu enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu terbabit.